Hanipa Maidin menasihatkan pemimpin kerajaan berhenti menggunakan slogan seperti 'reformasi' dan 'lawan tetap lawan'. |
Salah seorang anggota kumpulan pengasas Amanah berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad lebih berazam untuk melakukan reformasi berbanding Anwar Ibrahim, walaupun perdana menteri menjadikannya tunjang utama kempen politiknya selama lebih dua dekad.
Hanipa Maidin yang menjawat timbalan menteri undang-undang di bawah pemerintahan 22 bulan Mahathir sebelum kerajaannya jatuh disebabkan perpecahan PKR pada 2020, berkata pemimpin veteran itu menunaikan janji untuk membersihkan rasuah di peringkat tertinggi dengan siri tangkapan dan siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dan jenayah kewangan lain.
Hanipa mengakui keberadaan Umno dalam kerajaan memungkinkan implikasi politik kepada Anwar sekiranya perubahan dilakukan.
Katanya sebahagian daripada kegagalan Anwar melaksanakan reformasi berpunca daripada gabungan yang dibentuknya selepas keputusan Parlimen tergantung pada pilihan raya 2022 lalu.
Menurutnya, ia berbeza dengan gabungan PH pimpinan Mahathir, yang mempunyai majoriti yang jelas pada pilihan raya 2018.
"Kemungkinan pada masa itu, memang kita kerajaan yang sah daripada rakyat. Ia berdasarkan (keputusan) pilihan raya. Kita terus bentuk kerajaan," peguam berusia 55 tahun itu, yang pernah menjadi nama besar dalam PAS sebelum meninggalkan parti untuk menyertai kumpulan serpihan Amanah, memberitahu MalaysiaNow dalam wawancara baru-baru ini.
Selepas pilihan raya umum lalu, PH yang dipengerusikan Anwar bergabung dengan Barisan Nasional dipimpim Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Gabungan itu kemudiannya disertai GPS, yang menjelaskan keputusan itu sebagai mematuhi titah diraja.
Anwar yang menjadikan reformasi tema utamanya dalam usaha dua dekad mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri, telah dikritik kerana tidak menunaikan janjinya untuk membasmi rasuah, memansuhkan undang-undang zalim dan memastikan ruang demokrasi yang lebih luas.
Pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri ketika beliau masih dibicarakan atas 47 pertuduhan rasuah merupakan petunjuk awal reformasi yang dijanjikan Anwar bakal berdepan masalah.
Sejak itu, pentadbiran Anwar selama hampir dua tahun menyaksikan sekatan terhadap kebebasan bersuara di mana tindakan diambil terhadap portal berita dan pengguna media sosial, musuh politik didakwa di bawah Akta Hasutan dan kroni politik diberikan kontrak kerajaan.
Baru-baru ini, berita kewangan Bloomberg mendedahkan Anwar telah mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan mengarahkan siasatan terhadap Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politiknya yang menerima pelbagai jawatan korporat sejak PH mengambil alih kuasa.
Sebaliknya, Hanipa berkata bahawa di bawah Mahathir, usaha melawan rasuah dilakukan dengan tegas.
"Saya pernah berjenaka satu ketika dahulu ketika ditanya mengapa ada yang tidak didakwa dalam kes 1MDB saya katakan mereka perlu mengambil nombor giliran kerana ramai yang perlu didakwa," kata bekas ahli Parlimen Sepang itu.
Hanipa baru-baru ini mengecam sikap berdiam diri peguam negara dan kerajaan kerana gagal mendakwa seorang pegawai polis yang dirakam menyerang seorang pemandu e-hailing kurang upaya.
Ia selepas lebih empat bulan sejak pemandu Grab pekak, Ong Ing Keong, membuat laporan polis mengenai kejadian di Hotel St Regis di Kuala Lumpur, di mana dia ditumbuk di muka oleh seorang pegawai yang mengiringi rombongan pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hanipa mengkritik kepimpinan partinya dan menggesa Amanah menyatakan pendiriannya mengenai kegagalan untuk memastikan keadilan untuk Ong, malah berkata parti itu perlu menilai semula penyertaannya dalam gabungan kerajaan.
"Kalau orang OKU kita tak boleh bela, maksudnya sebagai pemimpin, kita tak boleh menyuarakan hak mereka.
"Ahli Parlimen, sebagai orang-orang yang ada pengaruh, tiba-tiba tak boleh bercakap," katanya sambil menamakan RSN Rayer DAP sebagai salah seorang ahli Parlimen yang dimaksudkan.
Hanipa berkata kegagalan melaksanakan reformasi adalah kerana Anwar terpaksa memastikan survival politiknya di sebalik kerjasama dengan BN.
"Ini pilihan-pilihan politik yang beliau terpaksa ambil kira."
Beliau berkata parti kerajaan perlu berhenti menggunakan slogan seperti "reformasi" dan "lawan tetap lawan", yang satu masa dulu sering dilaungkan Anwar dan pemimpin PH.
"Bagi saya tak perlu lagi sebut 'lawan tetap lawan'. Itu semua slogan yang mungkin sesuai masa kamu jadi pembangkang.
"Sekarang masa untuk kamu laksanakan reformasi tersebut. Kalau lawan, semua orang boleh lawan.
"Kamu hendak lawan siapa? Kamu dah jadi kerajaan," tegasnya.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment