NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Speaker perlu maklum SPR kekosongan kerusi wakil rakyat Bersatu - KPPP

Kenyataan Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) pada Khamis.


SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memaklumkan kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang termaktub dalam Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berpendirian bahawa keanggotaan tujuh wakil rakyat parti itu telah dilepaskan selepas kegagalan untuk mematuhi arahan Bersatu bagi menyatakan kesetiaan dalam tempoh 14 hari.

Menurut badan pemikir itu, pelepasan keahlian berkenaan tidak boleh disalah erti sebagai pemecatan yang mempunyai implikasi perlembagaan berbeza.

“Bersatu perlu segera maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan DUN mengenai pelepasan keahlian empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

“Bersatu tidak perlu menunggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada 24 Jun untuk melakukan perkara ini.

"Pemakluman ini wajar dilaksanakan secara profesional dan tidak dijadikan aksi politik.

“Penangguhan maklum kepada Speaker Dewan Rakyat akan mengganggu proses dan persediaan SPR untuk pilihan raya kecil (PRK) yang perlu berlaku,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Razali memaklumkan Bersatu akan menghantar notis kekosongan kerusi Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat, selepas keahlian enam ahli Parlimennya digugurkan secara automatik pada akhir bulan lalu.

Razali berkata, notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)

Mengulas lanjut, menurut KPPP, Bersatu juga perlu memaklumkan kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berhubung pelepasan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Kenyataan itu berkata, kelima-lima wakil rakyat itu telah dipilih sebagai ahli Perikatan Nasional (PN) melalui keahlian Bersatu menyebabkan pemberhentian tersebut mengakibatkan kerusi mereka dikosongkan.

“Pelepasan keahlian untuk Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik tidak menyebabkan kerusi tersebut dikosongkan kerana mereka telah dipilih sebagai calon Pas.

“Bagaimanapun, kedua-duanya perlu sukarela meletakkan jawatan bagi membolehkan PRK diadakan agar pengundi boleh menentukan sama ada mereka menyokong wakil rakyat tersebut yang telah berubah haluan.

“Oleh itu, Speaker Dewan Rakyat dan DUN perlu memaklumkan SPR kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 21 hari daripada notis oleh Bersatu.

"Sebarang penangguhan yang disengajakan atau keingkaran kepada peruntukan perlembagaan akan mencemar integriti peribadi mereka,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, sekiranya peruntukan dalam perlembagaan Bersatu tidak berkesan menyebabkan kekosongan kerusi, peruntukan serupa dalam Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan UMNO juga akan ditimpa nasib yang sama.

“Tindakan khianat untuk menggagalkan Akta Anti Lompat Parti buka sahaja akan mengundang ketidakstabilan politik semasa 2018 hingga 2021.

“Bahkan akan meranapkan keyakinan dan hormat rakyat kepada parti politik, wakil rakyat serta demokrasi pelbagai parti,” katanya lagi.


Sumber | Sinar Harian 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo