NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAN Hulu S'gor tak puas hati jawatan penyelaras DUN diserah pada Umno

story-image
story-image
Amanah Hulu Selangor meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari agar menyerahkan kembali jawatan pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam yang sebelum ini dipegang timbalan ketuanya, Roslin Md Zin.

Naib Ketua Amanah Hulu Selangor Mohammad Syafiq Musa mendakwa Roslin ditamatkan tugas sebelum ini dengan jawatan itu diberikan kepada Ketua Umno Hulu Selangor Mohd Isa Abu Kasim.

Menurutnya lagi, difahamkan Mohd Isa sepatutnya menjadi penyelaras DUN Batang Kali namun jawatan itu diberikan kepada PKR.

Batang Kali dan Hulu Bernam adalah dua DUN bawah kawasan Parlimen Hulu Selangor.

"Kami telah memohon penjelasan tentang perkara ini namun sehingga sekarang masih belum mendapat jawapan daripadanya (Amirudin).

"Kami juga dimaklumkan tindakan (penamatan) tersebut merupakan langkah politik pihak tertentu yang berusaha menempatkan diri di (DUN) Batang Kali, yang sepatutnya diberikan kepada Umno.

"Rentetan tindakan tersebut, pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam daripada Amanah ditamatkan perkhidmatan secara tergesa-gesa dan tanpa penjelasan untuk diberi kepada Umno," katanya dalam kenyataan semalam.

Roslin Md Zin dan Mohd Isa Abu Kasim

Pada PRN Selangor 2023, DUN Hulu Bernam ditandingi Mohd Amran Mohd Sakir dari Amanah. Sebelum itu, kerusi tersebut dipegang Setiausaha Wanita Umno, Rosni Sohar selama dua penggal.

DUN Batang Kali pula ditandingi oleh Mohd Isa.

Namun, kedua-duanya tewas dan mengikut amalan pentadbiran PH di Selangor, calon yang tewas akan dilantik sebagai penyelaras di DUN berkenaan.

Sidang DUN Selangor menyatakan jawatan pegawai penyelaras DUN dilantik di bawah Skim Perkhidmatan Singkat (SPS) dengan tempoh perkhidmatan bermula dari tarikh lantikan hingga DUN dibubarkan, atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor membuat keputusan untuk menamatkannya.

Pada masa ini, Mohd Isa telah dilantik sebagai penyelaras DUN Hulu Bernam yang baru manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad menjadi penyelaras DUN Batang Kali.

Amirudin Shari

Kenyataan Mohammad Syafiq turut disertakan dengan surat yang dikatakan oleh Amirudin bertarikh 9 Mei 2024, yang menyatakan tugas Roslin selaku penyelaras DUN Hulu Bernam ditamatkan pada 14 Mei 2024 seperti yang diputuskan MMKN Selangor pada 12 Mei lalu.

Syafiq berkata keputusan itu dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan parti-parti dalam kerajaan negeri.

"Tindakan MB (Amirudin) yang juga pengerusi PH Selangor jelas membelakangkan semangat kerajaan perpaduan dan menafikan komitmen Amanah kepada kerajaan negeri selama ini, khususnya di Hulu Selangor.

"Kami secara tegas menyatakan tidak bersetuju (dengan keputusan itu) kerana jelas ia tidak membawa semangat kebersamaan yang dilaung-laungkan selama Amanah berada dalam PH," katanya lagi.

‘Amanah bantah ketika mesyuarat’

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Syafiq menjelaskan dakwaan berhubung gerakan politik untuk memberi jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam kepada Umno.

Katanya, jika mengikut kelaziman, jawatan penyelaras DUN Batang Kali sepatutnya dipegang Umno tetapi ia diberikan kepada PKR.

Dia turut mendakwa Exco Selangor Anfaal Saari - yang juga Adun dari Amanah - memaklumkan dalam mesyuarat MMKN pada 12 Mei itu, parti itu tidak bersetuju perkhidmatan Roslin ditamatkan, serta alasan penamatan juga tidak diberikan.

"Anfaal juga menyebut menteri besar sendiri menangguhkan keputusan itu dalam mesyuarat berkenaan," dakwanya.

"Keputusan kami sekarang adalah untuk menuntut jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam kekal kepada Amanah," katanya lagi.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo