NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN gerak usaha susulan perkasa perundangan Syariah




KUALA LUMPUR
: Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat dan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang berikutan keputusan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Persidangan Meja Bulat akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-undang.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, usaha tersebut adalah sebagai mencadangkan tindakan susulan bagi memperkasa kedudukan perundangan syariah khususnya dan kepentingan umat Islam amnya.

“Perikatan Nasional memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada hari ini.

Persidangan Meja Bulat dan Jawatankuasa Teknikal menurutnya akan melibatkan penyertaan pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan Islam, para ulama’, ilmuwan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan.

Maklum beliau, keputusan penganjuran meja bulat dan kewujudan jawatankuasa tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang telah diadakan semalam. 

Mesyuarat tersebut telah turut dihadiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau serta ahli-ahli Majlis Tertinggi. 

Beritahunya, mesyuarat dipengerusikan beliau itu adalah untuk membincangkan dan perhalusi isu keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia amnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dicabar peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan melibatkan panel sembilan hakim terlibat telah dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Sementara itu, mesyuarat itu turut mengumumkan ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Februari 2024.

“Majlis Tertinggi PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan sebelum ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY15/2/2024



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo