NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gaji penjawat awam perlu dinaikkan dengan segera




KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa agar tidak melengah-lengah inisiatif kenaikan gaji penjawat awam yang berjumlah 1.6 juta orang pada waktu ini.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, usaha penyelarasan kenaikan gaji perlu disegerakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.  

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada hari ini (11 Feb), susulan laporan mengenai pengumuman kenaikan gaji penjawat awam berkenaan hasil kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini, yang  diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Muhammad Ismi, umum mengetahui bahawa kajian ini lebih tertumpu berkenaan keperluan kenaikan gaji dan kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam.

“Justeru, dengan pengumuman yang dibuat hari ini, dijangka hasil kajian akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya akhir tahun ini. 

“Secara praktikalnya, proses menterjemahkan hasil kajian itu kepada usaha penyelarasan gaji penjawat awam berkemungkinan hanya mengambil tempat pada awal tahun hadapan,” katanya.

Tambah beliau, dengan pengumuman berkenaan pemansuhan pencen bulanan kepada penjawat awam yang baharu bermula Februari ini, ia telah menguatkan justifikasi bahawa perlunya kenaikan gaji secepat mungkin bagi membolehkan jumlah caruman persaraan bagi penjawat awam adalah mencukupi di hari tua  nanti.

“Sokongan saya ini adalah seiring dengan tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menggesa kerajaan untuk melakukan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam berbanding menunggu sehingga 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” tegasnya.

Hakikatnya, ujar Muhammad Ismi lagi, sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima penjawat awam. 

Situasi itu, menurut beliau, telah menyebabkan ada dalam kalangan penjawat awam yang tertekan dan tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun terutama mereka yang tinggal di bandar besar. 

“Oleh itu, harapan saya agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan saya ini demi menjaga kebajikan penjawat awam yang sejak sekian lama adalah wira tidak didendangkan dalam negara kita. 

“Malah, saya bersedia menyebut cadangan ini sekali lagi dalam sidang Dewan Rakyat bagi memastikan suara rakyat kebanyakan benar-benar didengari oleh sang penguasa,” katanya.   HARAKAHDAILY  11/2/2024




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo