NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cabar enakmen syariah Kelantan: Mahkamah Persekutuan umum keputusan esok

Keputusan dijadual disampaikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim.



KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan esok permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Keputusan itu dijadual disampaikan di mahkamah terbuka pada 9 pagi oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Pada 30 Sept 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kedua-dua wanita itu untuk memulakan cabaran mereka.

Mereka berhujah bahawa peruntukan negeri yang meliputi kesalahan syariah termasuk antaranya sumbang mahram, judi, liwat dan gangguan seksual adalah tidak sah kerana ia sudah dilindungi oleh undang-undang persekutuan.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Semasa prosiding sebelum ini, Tengku Maimun berkata isunya bukan mengenai menjatuhkan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Isu yang timbul daripada petisyen itu hanyalah mengenai kompetensi DUN Kelantan untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.

Beliau berkata, kenyataan bahawa “Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia” adalah tidak benar.

Tengku Maimun berkata demikian bagi menjawab kenyataan peguam Mohd Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu bahawa adalah penting bagi seseorang untuk memahami cabaran kuasa Mahkamah Syariah sebelum ia terkubur seperti “batu nisan”.

Ketua hakim turut mengingatkan peguam yang terlibat dalam pendengaran cabaran perlembagaan itu supaya mengelak daripada mengulas kes itu.

Beliau berkata, peguam terikat dengan etika profesion mereka dan oleh itu, adalah tidak wajar bagi mereka untuk membincangkan kes yang belum selesai pada forum awam.

Beliau berkata, mahkamah membuat pemerhatian kerana begitu banyak yang diperkatakan oleh ramai orang mengenai petisyen itu dan kebanyakan daripada apa yang diperkatakan adalah versi yang diputarbelitkan bagi isu sebenar di hadapan mahkamah.


Sumber | FMT Malaysia 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo