SHAH ALAM: Kerajaan tidak akan mengambil tindakan menghentikan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok seperti pemerintah Indonesia sebelum penelitian dilakukan sepenuhnya, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
“Semestinya keadaan di Malaysia berbeza daripada di Indonesia. Saya telah meminta beberapa maklumat daripada pihak TikTok untuk memahami keadaan sepenuhnya operasi TikTok Shop melibatkan perkongsian data dan sebagainya.
“Mereka akan kembali dengan maklum balas. Kita akan teliti dulu. Sekiranya perlu berdasarkan maklumat kita terima, apa tindakan yang perlu ambil kita akan buat selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran “Malaysia First 5G Autonomous Warehouse” di DHL Supply Chain, Shah Alam.
Semalam, Fahmi bertemu dengan pengurusan tertinggi TikTok diketuai oleh Naib Presiden Global TikTok Helena Lersch dan menyatakan pematuhan operasinya terhadap undang-undang masih tidak memuaskan.
Selain perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia, TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform itu, termasuk yang bersifat “Coordinated Inauthentic Behaviour” (CIB).
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan mengumumkan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang dalam platform media sosial Tiktok yang memberi pendapatan tinggi peniaga dalam talian.
Langkah tersebut yang berkuatkuasa serta-merta dilaporkan bertujuan melindungi peniaga di luar talian dan pasaran, serta menghalang penggunaan data peribadi dalam kepentingan perniagaan.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment