NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan digesa salur lebih dana bagi kesihatan luar bandar

Pakar berkata terdapat keperluan untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar. (Gambar Bernama)



PETALING JAYA: Pakar kesihatan menggesa lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2024 bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan luar bandar.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Azizan Abdul Aziz, mengharapkan peningkatan bajet untuk menambah baik prasarana dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di luar bandar, serta membangunkan perkhidmatan telekesihatan di kawasan terbabit.

“Terdapat keperluan mengutamakan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cekap. Liputan internet kini sepatutnya ada di mana-mana, termasuk di kawasan luar bandar,” kata Lee kepada FMT.

Dua pakar itu mengharapkan lebih banyak peruntukan bagi pendigitalan perkhidmatan kesihatan serta mengurangkan kesesakan dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Lee turut menggesa Putrajaya menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada pegawai perubatan berpotensi menjadi pakar.

“Kekurangan pakar adalah nyata. Kerajaan perlu menilai semula jumlah doktor dan pakar diperlukan negara pada masa tertentu.”

Azizan pula ingin melihat peruntukan bagi kenaikan pangkat yang lama tertunggak buat doktor, jururawat, kakitangan penjagaan kesihatan bersekutu, pembantu perubatan dan kakitangan sokongan lain dalam penjagaan kesihatan awam.

“Kenaikan pangkat dan imbuhan penting sebagai faktor pendorong dan sebahagian usaha mengekalkan perkhidmatan kakitangan penjagaan kesihatan dalam sistem.”

‘Jaga warga emas’

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata lebih banyak perhatian perlu diberikan kepada perkhidmatan penjagaan warga emas kerana ramai yang diabaikan, bahkan mengalami penderaan.

Katanya, kemudahan penjagaan warga emas jangka panjang kini terhad kepada kawasan bandar, dan disebabkan kebanyakannya penyedia swasta, kos tinggi menghalang banyak keluarga berpendapatan rendah.

Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental, Anita Abu Bakar berkata pembiayaan berterusan perlu untuk menambah baik perkhidmatan intervensi krisis bagi komuniti rentan.

Beliau mencadangkan penubuhan rumah krisis di seluruh negara bagi menyokong gelandangan berdepan masalah mental dan bekerjasama dengan NGO yang boleh membantu mereka mencari pekerjaan serta tempat tinggal tetap.


Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo