Pusat pameran TikTok ketika satu persidangan antarabangsa di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Pusat pameran TikTok ketika satu persidangan antarabangsa di Bangkok, Thailand. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah Indonesia bersedia untuk mengikut jejak langkah India dan Amerika Syarikat (AS) untuk melarang wadah media sosial TikTok daripada terlibat dalam kegiatan e-dagang, TikTok Shop di negara itu.

Ura-ura itu berdasarkan kebimbangan mengenai potensi monopoli perniagaan, kata seorang pegawai kanan pada Selasa.

"Ini membenarkannya menjalankan operasi e-dagang yang boleh menjejas perniagaan tempatan kita.

"India dan AS telah melarang TikTok daripada mengendalikan media sosial dan perniagaan e-dagangnya secara serentak, manakala di Indonesia, TikTok kini bebas melakukan kedua-duanya," katanya.

Menteri itu memetik penyelidikan yang membentangkan bahawa TikTok telah menyepadukan ciri membeli-belah dalam talian yang memberi kesan kepada interaksi media sosial.

Walaupun TikTok masih dibenarkan untuk menjalankan wadah dagangan, ia tidak boleh digabungkan dengan aplikasi perkongsian video popularnya, yang mempunyai berpuluh juta pengguna di Indonesia.

Menurut Teten, pangkalan pengguna yang luas dan sistem mengesyorkan algoritma akan memberikan TikTok kelebihan yang tidak adil.

"Selain itu, mereka mempunyai sistem pembayaran dan sokongan logistik mereka sendiri. Ini sesuai dengan amalan perniagaan monopoli," tegas beliau.

Atas alasan yang sama, Teten menggesa wadah dagangan dalam talian di Indonesia supaya mengelak daripada menjual produk mereka sendiri atau syarikat gabungan untuk mengelakkan tingkah laku monopoli.

Baru-baru ini, New York mengharamkan TikTok pada peranti milik pemerintah atas alasan kebimbangan keselamatan, sama seperti langkah sekatan yang diambil oleh beberapa bandar dan wilayah lain di AS.

TikTok adalah aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat AS dan dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance.

Baru-baru ini, ia berdepan dengan peningkatan desakan daripada penggubal undang-undang seluruh AS supaya mengharamkan media sosial itu atas kebimbangan mengenai kemungkinan pengaruh pemerintah China.

TikTok 'menimbulkan ancaman keselamatan kepada rangkaian teknikal bandar ini', kata Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam satu kenyataan.

Memetik laporan media tempatan, pengharaman di India dibuat selepas Kementerian Teknologi Maklumat India menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai aplikasi yang didakwa mengambil data secara tidak sah. - AGENSI