NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuntutan kerusi DUN Kota oleh Amanah, Umno mohon hormati keputusan

SEREMBAN: Semua peringkat kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati keputusan Majlis Presiden berkaitan parti yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu sudah diputuskan dan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi DUN Lenggeng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelas beliau, keputusan berkenaan setelah dipertimbangkan dalam jangka masa yang panjang melalui beberapa siri perbincangan dan mesyuarat.

“Saya harap persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dapat kita terima dan kita praktikkan secara persefahaman di dalam menghadapi PRN. Saya percaya mereka juga (Pemuda Amanah) menghormati keputusan yang dibuat Majlis Presiden.

“Saya harap supaya keputusan ini dihormati oleh semua kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan kerana kita sedia maklum siapa pun akan memperjuangkan untuk mendapatkan kerusi tambahan tetapi akhirnya keputusan dibuat oleh presiden, oleh ketua kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Jalaluddin mengulas kenyataan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan yang mahu meletakkan calon mereka bagi bertanding di kerusi DUN Kota pada PRN kelak.

Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, ia bagi memastikan parti itu kekal bertanding di tiga buah kerusi DUN di Negeri Sembilan.

BN semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, mengumumkan senarai 108 calon parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN di enam buah negeri yang akan melaksanakan PRN pada bulan hadapan.

Ia termasuk 17 orang calon yang akan bertanding mewakili parti itu di Negeri Sembilan termasuk DUN Kota dan juga DUN Lenggeng.

DUN Lenggeng yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dimenangi calon dari Amanah yang bertanding atas tiket PH selain dua lagi kerusi iaitu Paroi dan Klawang.

Sementara itu, jelas, Jalaluddin lagi, sekiranya Amanah masih mahu menghantar calon di kerusi ditandingi BN itu, dibimbangi akan berlaku masalah apabila pendekatan yang sama diambil pihak lain.

“Kita sudah menghampiri satu suasana PRN yang penting jadi semangat, kerjasama dan persefahaman mesti dibawa dan dipegang oleh semua peringkat parti di dalam Kerajaan Perpaduan, itulah yang akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, katanya, tidak timbul isu calon anak beranak dalam pencalonan isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid dan anak Mohd. Isa iaitu Mohd. Najib.

“Kriteria pemilihan calon BN adalah calon yang terbaik serta tidak mengambil kira jawatan sebagai menteri, ahli Parlimen ataupun mempunyai hubungan kekeluargaan. Kawasan yang mereka (calon anak-beranak) wakili adalah mandat yang tepat.

BN menampilkan Bibi Sharliza sebagai calon di kerusi DUN Juasseh manakala Mohd. Najib di kerusi DUN Bagan Pinang.-UTUSAN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo