NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini : 16,563 jemaah Malaysia sudah berada di tanah suci

MEKAH: Setakat semalam 16,563 jemaah atau lebih 50 peratus jemaah haji dari negara ini berada di tanah suci sejak penerbangan pertama 21 Mei lalu.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pada masa ini 11,294 jemaah berada di Mekah dan 5,569 lagi di Madinah.

Katanya, pada tahun ini jumlah keseluruhan jemaah Malaysia ialah 31,600.

Menurutnya, sejak Jumaat lalu, maktab di Mekah telah menerima kemasukan jemaah me­lalui dua sektor iaitu dari Jeddah dan Madinah.

“Sebanyak 57 penerbangan atau bersamaan 58 peratus te­lah selesai membawa jemaah ke tanah suci. Tiada lagi kemasukan ke Madinah kerana yang terakhir ialah pada semalam.

“Tiga pesawat tambahan dari Kota Bharu, Kelantan, Kuala Terengganu, Terengganu dan Alor Setar, Kedah telah selesai operasinya manakala empat lagi masih menjadi stesen berlepas selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” kata­nya di sini semalam.

Menurut Syed Saleh, suhu di tanah suci meningkat 46 darjah celsius menjelang operasi masyair dan jemaah dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan.

Tambahnya, pada masa ini seramai 36 jemaah berada dalam wad dengan pecahan 31 di pusat rawatan Tabung Haji dan lima di hospital Arab Saudi Mekah serta Madinah kerana mengalami jangkitan paru-paru dan kulit serta sakit sendi.

“Mereka dalam keadaan stabil. Pesakit yang dimasukkan ke hospital arab Saudi pula akan dilawati oleh pasukan perubatan dua kali sehari yang turut berkongsi maklumat tambahan sejarah kesihatan jemaah dengan doktor tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Saleh menasihatkan jemaah supaya tidak terdedah kepada panas, meminum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi dan menjaga makan.

“Ada jemaah terlalu fokus ibadat hingga mengabaikan waktu makan. Ia perlu se­imbang kerana kesihatan penting bagi melaksanakan ibadat,” katanya.

Syed Saleh memberitahu, jemaah yang mengalami sakit walaupun kecil perlu segera ke klinik kerana pencegahan di peringkat awal amat penting.

“Ada jemaah enggan ke klinik kerana takut ditahan wad. Jika ditahan pun, kita akan bawa mereka berwukuf dan oleh itu jangan risau untuk berjumpa doktor,” katanya.

Jemaah juga digalakkan memakai pelitup muka kerana ketika ini jemaah haji dari pelbagai negara sudah mula memenuhi kawasan Masjidilharam ekoran baki hari Arafah hanya tinggal 23 hari lagi. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo