Kulai: Polis giat mengesan sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara- Selatan menghala ke utara, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan video tular pada 1.52 tengah hari yang memaparkan mangsa dikejar kenderaan dinaiki penyamar itu.

Katanya, tiga lelaki menyamar sebagai polis itu menggunakan lampu beacon seakan milik polis dan cuba mengarahkan mangsa untuk menghentikan kenderaannya.

"Pemilik akaun bernama Freeman Gan berkongsi video itu di Facebooknya memaparkan dia dikejar sebuah kereta yang dinaiki tiga individu yang menyamar sebagai pasukan polis.

"Mengikut maklumat yang diterima, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui Lebuhraya Utara-selatan menghala ke utara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini mangsa masih belum hadir ke balai polis membuat laporan polis berkenaan kejadian ini.

"Polis Daerah Kulai masih dalam usaha kesan pemilik kereta itu untuk siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dengan menghubungi talian 07-6637222 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Azri di talian 010-7647789," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Rakaman video pendek itu menunjukkan kesemua suspek berpakaian ves seperti polis dan mengenakan penutup muka bagi mengelak wajahnya dirakam.

TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO Facebook
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO Facebook

Sumber | HMetro