Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. |
Walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tiada keperluan DAP meminta maaf, bagaimanapun Pemuda UMNO tetap mempertahankan pendirian tersebut.
Dalam reaksi awal kepada gesaan Pemuda hari ini, Presiden UMNO menolak gesaan dibuat oleh sayap parti tersebut tetapi dibalas Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal bahawa perkara tersebut adalah suara akar umbi parti yang meminta permohonan maaf itu.
“Biar orang kata Pemuda biadab, yang penting orang tahu kita bawa suara rakyat di bawah,” katanya ketika menggulung perbahasan petang tadi di Perhimpunan Agung UMNO 2023 bagi sayap parti itu.
Beliau mengingatkan pengkritik dalam parti bahawa mereka ahli yang setia bersama parti selepas UMNO tewas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pemuda di depan saya duduk dalam (dewan) ketika UMNO kalah teruk. Orang lain lari ke tempat lain, yang depan ini kekal setia,” ujarnya lagi.
Terdahulu Zahid membalas gesaan dibuat Akmal dengan bertegas agar perkara itu tidak ditimbulkan lagi.
Menurut Zahid, UMNO dan DAP sudah pun mencapai kata sepakat ketika membentuk kerajaan campuran selepas PRU-15.
“Perkara itu (minta DAP minta maaf) tidak (sepatutnya) timbul lagi kerana mereka telah menyatakan perkara ini beberapa kali.
“Menerusi perundingan kita untuk membentuk kerajaan (Perpaduan) pun, perkara itu juga menjadi syarat dan mereka bersetuju seratus-peratus, (jadi) tidak perlu lagi kita ulangi perkara yang telah dipersetujui,” katanya ketika sidang akhbar.
Akmal membuat gesaan agar DAP memohon maaf kepada UMNO atas tohmahan terhadap parti itu yang mengguris hati semua ahli sehingga kini.
Kata Akmal, ada ahli yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan risau apabila bersama DAP, ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi.
“Bahasa mudahnya, akar umbi risau bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, soal kedaulatan raja-raja, tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu serta bumiputera.
“Mereka risau UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama kerajaan perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara serta bersama untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment