NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam syarie terkilan kerajaan tarik balik rayuan kalimah Allah



Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melahirkan kekecewaan atas keputusan terkini kerajaan yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa pihak kerajaan memberikan penjelasan berhubung dengan tindakan penarikan balik rayuan itu kerana secara langsung menjejaskan kepentingan umat Islam.

“PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan dibuat kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri khususnya menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh sultan serta mengelakkan sebarang tindakan boleh menjejaskan kuasa raja-raja Melayu.

“Kami juga berharap pihak kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” katanya, lapor Utusan.

Beliau berharap kerajaan dapat meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara dengan mempertimbang pelbagai sudut dan aspek khususnya maslahah serta kepentingan umat Islam di negara ini.

Hari ini, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dilaporkan telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Notis pemberhentian difailkan Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.

Dalam pada itu Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan dengan tindakan berkenaan.

Pihaknya juga memohon penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah diberikan hak oleh mahkamah menjadi sahabat mahkamah dalam kes itu dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.

“Selangor umpamanya terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dan diperkenan oleh Sultan Selangor.

“Sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral ini telah menjejas kuasa Sultan Selangor khususnya,” katanya.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’.

Bagaimanapun, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu perlu disertakan dengan penafian (disclaimer) ‘Hanya untuk penganut Kristian sahaja’ pada kulit buku beserta lambang salib.

Hakim itu memutuskan demikian dalam semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland.

Jill Ireland yang merupakan seorang wanita Melanau memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak pelembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.


Sumber I Agenda Daily 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo