Ahmad Yunus
Ahmad Yunus

SHAH ALAM - Pas Selangor mengesahkan menerima permohonan daripada bekas pemimpin politik daripada parti lain untuk menyertai parti itu di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, nama-nama besar pemimpin politik itu akan diumumkan dalam satu majlis pada waktu terdekat.

Menurut beliau, permohonan tokoh politik itu akan dihantar kepada Pas Pusat dan perkara itu akan dibincang dan diputuskan pucuk pimpinan.

"Sebenarnya mereka sudah membuat permohonan, tetapi terima atau tidak belum tahu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Selangor di Pekarangan Pejabat Pas Selangor Seksyen 13 di sini pada Ahad.

Ditanya kemungkinan pemimpin terbabit hadir pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Pas Selangor, Ahmad Yunus bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang calon tersebut.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri bekas pemimpin UMNO antaranya Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selain itu, majlis itu turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk SERI Mohamed Azmin Ali dari Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).