NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kalimah Allah: Kerajaan hanya perlukan 24 jam pinda undang-undang - Peguam


Kerajaan hanya memerlukan 24 jam untuk meminda undang-undang bagi memastikan kalimah “Allah” hanya boleh digunakan oleh orang Islam di Semenanjung Malaysia dan kelonggaran diberikan terhadap orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak, kata seorang peguam.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan perkara itu berikutan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengumumkan demikian semasa persidangan Dewan Rakyat semalam.

Dalam satu kenyataan menerusi video yang dimuat naik ke akaun Facebooknya semalam, Haniff berkata adalah wajar kerajaan menyelesaikan hal itu dalam tempoh 24 jam kerana kerajaan persekutuan dan negeri menghadapi kekangan dalam memantau penggunaan kalimah Allah.

Haniff berkata kerajaan tidak sepatutnya menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung kes Mahkamah Tinggi melibatkan warga Sarawak, Jill Ireland yang menuntut hak menggunakan kalimah 'Allah' untuk tujuan agama dan pendidikan, memandangkan proses mahkamah pada masa itu boleh diteruskan sehingga ke mahkamah tertinggi.

"Tapi sekarang ini tanpa adanya rayuan dan tanpa adanya gubalan arahan baru, maka bagaimanakah pihak berkuasa dan majlis agama negeri masing-masing hendak melaksanakan tanggungjawab mereka (memantau penggunaan kalimah “Allah”).

"Jika seperti yang dinyatakan perdana menteri adalah bersamaan dengan kedudukan kerajaan pada 1986, maka gubalan arahan ini tidak akan mengambil masa lebih daripada 24 jam boleh dilakukan secara serta merta dan tidak perlu dilengahkan lagi.

"Saya juga percaya bahawa rakan-rakan kami yakni pengamal undang-undang di pejabat peguam negara jauh berkebolehan dengan kepakaran dan pengalaman mereka untuk melakukan pindaan tersebut dengan sesegera mungkin," kata Haniff.

Peguam itu berkata, langkah mempercepatkan pindaan itu adalah penting kerana 10 negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai enakmen yang melarang sebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Haniff menegaskan susulan kes mahkamah itu, polis dan jabatan kastam serta pihak berkuasa agama negeri berdepan kekangan daripada segi penguatkuasaan.

Semalam Anwar berkata pindaan dan pembatalan undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-raja berhubung kalimah "Allah" - adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan isu itu tidak lagi dipertikaikan di mahkamah selepas keputusan penting dalam kes Jill Ireland.

Perdana menteri berkata demikian sebagai respons kepada Takiyuddin Hassan (Perikatan Nasional-Kota Bharu) yang menggesa kerajaan kerajaan mewajarkan keputusan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jil.

Semasa membangkitkan soalan tambahannya, Takiyuddin memetik nota pada 1986 daripada timbalan perdana menteri ketika itu Ghafar Baba kepada Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Nota itu akhirnya membawa kepada Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan melarang orang bukan Islam menggunakan empat perkataan khusus termasuk "Allah".

Katanya nota itu adalah satu daripada tiga dokumen yang disebut dalam alasan penghakiman kes Jil, manakala dua lagi ialah surat Mahathir - bertarikh 19 Mei 1986 - kepada ketua setiausaha KDN ketika itu, dan pekeliling KDN bertarikh 5 Dis 1986.

Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), menegaskan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan itu dan ia telah dirundingkan dengan majlis-majlis agama Islam negeri.

Anwar berkata semua cadangan pindaan kepada peraturan semasa itu akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu pada persidangannya Julai nanti.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo