NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kumpulan Orang Asli Johor kekal pendirian bantah cadangan 'tanah kesultanan'



Sekumpulan Orang Asli di Johor kekal tegas menentang rancangan untuk menukar tanah mereka menjadi "tanah kesultanan".

Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) bercadang untuk menyerahkan surat bantahan rasmi kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak lama lagi.

"Ini bukan soal derhaka kepada Sultan tetapi atas dasar demokrasi dalam menyuarakan hak sebagai warganegara Malaysia," kata JPOAJ dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Resolusi membantah penukaran tanah itu dicapai pada mesyuarat yang disertai 90 wakil dan pembesar Orang Asli Johor dari pelbagai kampung dan daerah di Kluang pada Jumaat.

Pada 16 Mac, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyarankan kerajaan negeri Johor mengklasifikasikan semua penempatan dan rizab Orang Asli di negeri itu sebagai ‘tanah kesultanan’ bagi mengelak ia disalahgunakan.

Baginda bertitah ini perlu kerana menurut baginda segelintir Orang Asli telah menjadikan hutan simpan negeri sebagai ladang kelapa sawit dan getah berskala besar.

Rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954, yang menyatakan bahawa tanah tersebut tidak boleh diberi milik atau dilupuskan, kecuali untuk Orang Asli yang tinggal di atas tanah tersebut.

Kerajaan negeri, bagaimanapun, boleh membatalkan status tanah tersebut.

Sementara itu, di bawah Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan Johor, tanah yang diklasifikasikan sebagai ‘tanah kesultanan’ adalah milik Sultan dan tidak dianggap sebagai hak milik negeri.

Enakmen itu juga memperuntukkan bahawa tiada bahagian tanah kesultanan boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan kecuali dengan kebenaran bertulis sultan.

Pengerusi JPOAJ, Dolah Tekoi sebelum ini berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan alasan bahawa rizab Orang Asli telah pun dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 dan Kanun Tanah Negara - undang-undang yang terpakai di seluruh negara.

Katanya adalah tidak benar bahawa semua Orang Asli menggunakan rizab mereka untuk ladang yang dieksploitasi oleh orang luar.

Katanya, sebilangan Orang Asli menggunakan rizab untuk ladang bagi menyara diri.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dalam mempertahankan rancangan itu, mendakwa bahawa ‘tanah kesultanan’ tidak akan menjadi hak milik peribadi Sultan Johor, sebaliknya bertindak sebagai penjaga kepada tanah tersebut.


Sumber I Malaysiakini 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo