GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebulat suara bersetuju mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh BN.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mesyuarat semalam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, dihadiri semua parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Beliau berkata, mesyuarat membuat ketetapan untuk komited bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan dan menyeru semua pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat menjaga perpaduan serta keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin.

“Dewan Tertinggi BN juga dimaklumkan secara mendalam persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Perbincangan juga membabitkan model kerjasama antara BN bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook BN.

Selain itu, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini di WTC KL.

Pada mesyuarat itu, parti komponen daripada Presiden masing-masing merakamkan ucapan tahniah kepada Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menang jawatan Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno tanpa bertanding dalam pemilihan Umno sesi 2023-2026.

Selain itu, ucapan tahniah juga dirakamkan kepada seluruh kepimpinan Majlis Tertinggi serta Kepimpinan Umno setiap peringkat atas kemenangan pada pemilihan itu.

Menurut Zambry, Mesyuarat Dewan Tertinggi turut bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Bendahari Agung BN; Dr Muhamad Akmal Saleh serta Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi masing-masing sebagai wakil Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Turut dilantik pengganti wakil Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke Dewan Tertinggi iaitu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangan PBRS Datuk Fredie Sua.

Mesyuarat juga mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Penyelaras Negeri serta bahagian.