Empat nelayan warga Myanmar ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. |
GEORGETOWN - Empat nelayan warga Myanmar ditahan di atas sebuah bot nelayan tempatan selepas pemeriksaan mendapati, mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Keempat-empat nelayan berusia lingkungan 33 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam Op Khas Pagar Laut 1/2023.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan tersebut ditahan pada jam 12.20 tengah hari Isnin.
"Ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bergerak dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
"Selepas mengarahkan ia berhenti, kita dapati bot tersebut dikendalikan oleh empat nelayan warga Myanmar. Pemeriksaan mendapati, mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki melanggar syarat sah lesen bot," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati, bot tersebut berpangkalan di Hutan Melintang, Perak.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kita turut meramps 300 kilogram hasil laut daripada mereka. Bot, nelayan serta hasil laut tersebut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," kata beliau lagi.
Menurutnya, Maritim Malaysia mendapati masih ada segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.
"Tangkapan dan amaran telah dibuat sebelum ini namun masih ada yang berani. Ia terbukti apabila masih banyak tangkapan yang kita buat di atas kesalahan yang sama. Bagaimanapun, kita tidak akan berhenti daripada terus menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan ini.
"Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia," katanya.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment