NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 50 ahli UMNO di Perak sabotaj parti dipecat

IPOH – Lebih 50 ahli UMNO di negeri ini dipecat kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bahagian paling ramai dipecat ialah UMNO Bahagian Larut apabila 17 orang dipecat.

Menurutnya, mereka dikenakan tindakan itu kerana mensabotaj parti, antaranya atas kesalahan secara jelas menjadi pencadang atau penyokong kepada calon pembangkang atau menjadi calon daripada pembangkang.

“Ada juga orang mereka tidak menjadi calon, pencadang atau penyokong kepada pembangkang, tetapi semasa tempoh kita berkempen dia terang-terang sama ada berceramah atau membawa bendera pembangkang ataupun berkempen.

“Yang ini kita dapat laporan dan kita hantar laporan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin Negeri dan Pusat dan sebahagian daripada mereka telah dipecat.

“Saya ingat daripada Larut ada 17 orang dan beberapa tempat lain memang sudah pun dipecat. Yang lain, kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti akan mengumumkan siapa yang dipecat,” katanya kepada pemberita pada Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai Pemilihan UMNO semalam, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, walaupun tiada keputusan muktamad lagi kerana sedang menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO, beliau meninjau, memantau dan mendapatkan laporan dari segi perjalanan mesyuarat.

Menurutnya, setakat ini tiada berlaku kekecohan yang serius dilaporkan dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) bertugas dengan baik malah kebanyakan daripada mereka telah mengambil pengalaman pada pemilihan peringkat sayap 11 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo