NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada sebarang perbincangan letak SPRM bawah Parlimen, kata Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini ditanya sama ada kerajaan bercadang meletakkan SPRM bawah Parlimen.

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum berbincang untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Tidak, tiada perbincangan mengenainya,” kata timbalan presiden PKR itu kepada pemberita di luar sebuah acara di sini.

Menteri itu ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk meletakkan SPRM bawah Parlimen selepas Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menuduh Putrajaya menggunakan agensi anti-rasuah itu sebagai alat politik.

Selepas SPRM membekukan akaun Bersatu baru-baru ini, Hamzah mendakwa, tindakan itu bertujuan memusnahkan kredibiliti parti dan Perikatan Nasional (PN).

Pada November, Rafizi membidas SPRM kerana menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd. Semasa berkempen untuk PRU15, beliau dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan “mencari” Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung dakwaan “penganiayaan politik”.

Beliau juga mendakwa serbuan SPRM ketika itu dijalankan mengikut arahan Barisan Nasional (BN) untuk menghalangnya daripada membuat kemunculan semula di Parlimen pada PRU15.

Presiden Dewan Negara Rais Yatim dan kumpulan masyarakat sivil sebelum ini turut menggesa SPRM diletakkan bawah Parlimen bagi memastikan akauntabiliti lebih baik.

Azam pada mulanya menolak gesaan ini, dengan berkata agensi itu sudah bebas dan tidak perlu diletakkan bawah Parlimen untuk menjamin ketelusannya.

Bagaimanapun, Ahad lepas, Azam berkata, beliau tiada masalah sekiranya jawatan tertinggi dalam agensi itu dipantau Parlimen.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo