NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SKMM masih gagal selesaikan isu mutu khidmat telco




KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diarahkan meneliti serta menyelesaikan isu berhubung mutu dan kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi sebelum Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Ini kerana, katanya, perkara itu sentiasa dibangkitkan dan menjadi rungutan orang ramai memandangkan sukar mendapat akses internet di sesuatu kawasan.

“Ada isu liputan dalam bangunan kerana beberapa peralatan perlu pasang dalam bangunan (untuk mendapat rangkaian), tetapi apabila berada di luar, pengguna dapat akses, masuk dalam bangunan liputan itu kurang baik…maka, perlu ada kerjasama dalam kalangan syarikat telekomunikasi melalui SKMM, apakah kawasan yang perlu diberi keutamaan.

“Masalah (rangkaian) di lebuh raya sering kali mutu perkhidmatan (syarikat telekomunikasi) dibangkitkan orang ramai, malah di sesetengah stadium ketika tonton bola sepak, aduan diterima tiada liputan,” katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai.

Fahmi mengulas harapan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini dan menurutnya, isu kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi antara isu yang mahu diselesaikan secara pukal demi kepentingan pengguna.

“Bila bab bil (telefon) dibayar lewat (oleh pengguna) akan dipotong, tetapi bila mutu perkhidmatan tidak ditepati kemahuan atau tahap yang boleh kita terima, tiada kesan (kepada syarikat telekomunikasi).”

Beliau berkata, KKD juga akan fokus menyelesaikan masalah rangkaian internet, terutama di kawasan berpenduduk 3%, iaitu kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

“Ini merupakan kawasan yang dari segi jaringan gentian bagi kebanyakan syarikat telekomunikasi merasakan kosnya tinggi dan KKD sedang teliti beberapa cara, termasuk penggunaan sistem internet satelit dan beberapa teknologi lain untuk menyelesaikannya.

“Ini amat penting kerana bagi saya supaya 3% (kawasan berpenduduk) yang merangkumi 3,000 kawasan dengan jumlah penduduk daripada 50 hingga lebih 100 orang ini dilibatkan dalam ekonomi digital.”

Mengenai kenaikan harga sayur, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berhasrat mewujudkan sistem data raya bagi menangani isu itu.

“(Sistem ini) merangkumi stok yang ada, berapakah jumlah bentuk tanaman yang ada di ladang dan apa yang ada di pasaran. Ini akan dapat membantu dari segi perancangan masa panjang dan saya percaya dalam masa terdekat, menteri berkenaan akan teliti isu ini untuk selesai dengan cara terbaik.”


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo