Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - BERNAMA
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa tindakan Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang 'mencipta' pelbagai tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) berisiko untuk memakan diri.

Pengerusi PN itu berkata, impak tindakan itu akan mengundang tindak balas melalui gelombang PN yang sudah terbentuk ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kemuncaknya akan dilihat melalui keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

"Ini saya nak katakan, gelombang PN yang sudah kita lihat akan terus melanda negara, di mana enam negeri (Pakatan Harapan) akan kalah (kerana) 'backlash' (makan diri).

"Saya beri amaran ini (supaya) jangan main-main kerana ini sentimen rakyat," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya berhenti bermain daripada politik dan menggerakkan tindakan jahat, sebaliknya menumpukan kepada kerja untuk membantu rakyat.

"Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan cakap tak serupa bikin. Misalnya, tiba-tiba ada dasar menteri-menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai.

"Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan dan berbaur nepotisme.

"Untuk apa dasar ini diperkenalkan? Ia tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak ketika ini. Rakyat bukan nak lihat anak menteri (atau) anak perdana menteri memegang jawatan dalam kerajaan, mereka nak lihat menteri dan perdana menteri buat kerja untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengingatkan bahawa kedudukan Perdana Menteri disandang Anwar bukanlah bersifat kekal.

"Allah kata Dia boleh naikkan kita, dan boleh juga turunkan kita...jadi jangan fikir yang Tambun (Anwar) akan kekal abadi untuk selama-lamanya (sebagai perdana menteri).

"Selepas Tambun akan ada orang lain, jadi jangan menganiaya dan buat sahaja ketika waktu susah ini kerana rakyat tak ada duit nak makan," katanya.