Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa jika sesiapa daripada Parti Republikan mencabar hasrat beliau untuk bertanding pada Pemilihan Presiden 2024, pencabarnya dianggap tidak setia kepada parti.

Hingga saat ini, Trump belum secara rasmi menjadi calon presiden daripada Republikan, tetapi interpretasi beliau ini dianggap berlawanan dengan amalan demokrasi kepartian. Namun, ramai juga penyokong Republikan akur dengan hipotesis Trump ini.

Dalam konteks UMNO, apabila parti membuat keputusan tidak mencalonkan beberapa penyandang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), salah satu interpretasinya adalah parti mahu memberi peluang kepada muka baharu. Tetapi ada juga berpendapat langkah itu demi mengukuh kedudukan Presiden UMNO ketika itu.
Begitu juga apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan drastik menamatkan dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya, dalil rasminya adalah mereka didapati melanggar disiplin parti. Demi mengukuhkan parti, tindakan seperti ini sukar dihindari.

Namun ada juga pandangan semua yang dikenakan tindakan disiplin adalah daripada kumpulan digugurkan ketika PRU15, iaitu mereka tidak sependapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdapat dua naratif bertentangan mengenai kemelut UMNO ini. Pertama adalah hukuman mesti dilaksanakan apabila disiplin parti dilanggar. Naratif kedua pula adalah tindakan disiplin dikenakan hanya bersifat untuk mengekalkan kedudukan Presiden.

Sebab itu ungkapan 'pembersihan' tetap terpakai untuk kedua-dua naratif bertentangan ini dan kesan jangka masa terdekat boleh dinilai ketika pemilihan UMNO tidak lama lagi.

Jika tidak tercetus pembersihan MKT, besar kemungkinan pertembungan dua kumpulan bertentangan naratif ini tercetus secara terbuka.

Apa yang menjadi persoalan, impak dihadapi kumpulan tidak sealiran dengan presiden ini masih menjadi tanda tanya. Mampukah calon daripada kumpulan ini mengisi jawatan penting atau apakah calon propresiden bakal menjadi pilihan pemilih?

Kumpulan mana bakal mengisi jawatan utama UMNO adalah kritikal kerana ia bukan sahaja akan mengubah hierarki kuasa parti, tetapi juga dalam hal berkait pilihan raya negeri (PRN) selepas pemilihan UMNO.

Jika calon propresiden menguasai pemilihan, maka naratif pembersihan demi menguatkan parti diterima ahli UMNO, tetapi jika sebaliknya tercetus, maka kemelut perpecahan UMNO akan berterusan, malah akan menjadi lebih parah.

Kelebihan hierarki jawatan propresiden 

Status hierarki jawatan UMNO menyebelahi kumpulan propresiden dilihat akan lebih memberi manfaat kepada parti kerana besar kemungkinan UMNO akan bekerjasama dengan PH menghadapi Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja di tiga negeri ditadbir PH tetapi di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS.

Jika UMNO kuat atau dalam genggaman presiden, ia akan memberi kelebihan apabila rundingan pembahagian kerusi dengan PH, terutama membabitkan kawasan majoriti pengundi Melayu yang turut diintai PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Hakikatnya jika UMNO berada dalam keadaan kesepakatan dan berpadu lebih memberi manfaat kepada PH kerana mampu menarik lebih ramai pengundi Melayu jika statistik keputusan PRU15 menjadi sandaran.

Atas sebab itu, PH dikatakan lebih memerlukan UMNO dan bukan sebaliknya jika strategi politik PRN diambil kira. Maka bukan menjadi tanda tanya lagi sama ada UMNO akan berseorangan seperti PRU15 pada PRN akan datang. Dapat dilihat PH dan UMNO akan bekerjasama bagi menghadapi PRN, cuma yang menjadi persoalan adalah soal pembahagian kerusi.

Status kingmaker UMNO 

Status kingmaker UMNO bakal menjadi lebih mahal kerana besar kemungkinan PRN akan berlangsung secara serentak di enam negeri dan paling penting diadakan selepas pemilihan UMNO yang berakhir pada 18 Mac nanti.

Kemenangan besar kumpulan propresiden bermula daripada jawatan terendah cawangan sehinggalah ke naib presiden dan MKT bakal melemahkan kumpulan bertentangan dan secara langsung membawa kesepakatan akar umbi parti kerana ia adalah pemangkin penting sokongan pengundi Melayu.

Jika ditinjau statistik keputusan PRN 2018, sepatutnya tidak ada masalah bagi PH sama ada PKR, DAP dan AMANAH mempertahankan kerusi dimenangi, walaupun statistik PRU15 menyebelahi PN kerana pengundi bukan Melayu kelihatan utuh bersama PH.

Di Selangor umpamanya, jika PH mahu memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi BERSATU, UMNO amat diperlukan untuk realisasikan hasrat itu.

Jika faktor kerjasama UMNO dan PH diambil kira, maka peluang untuk PN mengekalkan kuasa di Kedah mungkin agak sukar dicapai.

Gabungan PKR, DAP dan AMANAH sebelum ini memenangi 13 kerusi DUN berbanding PAS (15 kerusi) sementara BERSATU (lima kerusi). Secara mudah gabungan PH dan UMNO secara teorinya sukar bagi PAS dan BERSATU memenangi 33 kerusi keseluruhannya.

Namun, PN dilihat mampu menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Terengganu kerana pengaruh PH di kedua-dua negeri ini agak lemah dan tidak banyak boleh membantu UMNO.

Perlu dilihat, kesan proses pembersihan dalaman UMNO hanya dapat dinilai menerusi keputusan pemilihan parti pada 18 Mac dan ia memberi kesan rantaian kepada Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRN.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantar (NASR)