Gambar hiasan
Gambar hiasan

JERANTUT: PAS mengesyorkan lima initiatif yang wajar diambil oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan penoreh getah dan pekebun kecil di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu segera bertindak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil dan penoreh getah yang amat terkesan disebabkan oleh kejatuhan harga getah.

Menurutnya, kerajaan perlu mengelak daripada menuding jari kepada pihak lain dan terus bertindak mengatasi situasi harga getah yang masih rendah sekarang.

Katanya, umum sedia maklum bahawa kejatuhan harga getah disebabkan oleh pelbagai faktor.

"Antaranya disebabkan oleh kelembapan ekonomi global, ketidaktentuan daripada krisis Russia-Ukraine, harga minyak dunia dan isu melibatkan ketidakseimbangan antara permintaan berbanding penawaran bekalan getah asli.

"Justeru PAS mengesyorkan lima initiatif yang perlu diambil oleh kerajaan dalam usaha menangani masalah ini," katanya

Khairil Nizam, berkata, kerajaan perlu bertindak segera dengan menyalurkan bantuan bulanan yang bersesuaian kepada semua pekebun kecil dan penoreh getah dengan kadar segera sehingga harga getah kembali stabil di pasaran.

"Dalam masa yang sama, kerajaan perlu menaikkan kadar bantuan tanam semula pokok getah bagi mengantikan pokok getah tua dan tidak ekonomik bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula getah dari klon yang berkualiti tinggi.

"Ketiga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan subsidi dan penetapan harga lantai getah bagi mengimbangi kejatuhan harga pasaran getah global pada ketika ini," katanya.

Menurutnya, selain daripada bergantung kepada pendapatan melalui getah, pendapatan sampingan lain bagi pekebun kecil dan penoreh getah juga boleh diperkenalkan oleh kerajaan melalui dana atau geran khas untuk melaksanakan tanaman lain yang bersesuaian atau menceburi bidang penternakan secara integrasi di dalam kebun getah.

Akhir sekali katanya, kerajaan perlu mencontohi negara jiran seperti Thailand yang lebih ke hadapan dalam memperkenalkan teknologi terkini kepada pekebun kecil bagi menarik minat golongan belia untuk menjadi usahawan yang berasaskan kepada industri getah.

"Bahkan baru-baru ini Laporan Global Economic Prospects yang diterbitkan pada bulan Januari 2023 oleh Bank Dunia juga telah memberikan amaran berkenaan pertumbuhan perlahan eksport negara khususnya dalam pasaran komoditi disebabkan oleh gangguan perdagangan.

"Gangguan ini berkaitan dengan kekurangan bekalan dan harga makanan, baja serta tenaga akan menjadi lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, ekonomi yang bergantung kepada komoditi dan eksport seperti Malaysia amat terdedah kepada permintaan luar yang perlahan termasuk dari China.