NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mohamed Nazri duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat

PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai kedudukan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akhirnya terjawab apabila beliau dilantik sebagai duta baharu Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Perkara berkenaan disahkan Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini sebagai merujuk kepada istiadat penyerahan watikah pelantikan 10 ketua perwakilan diplomatik baharu.

Majlis penyampaian tersebut berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Ia turut disaksikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bagi menggantikan menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengikuti lawatan rasmi ke Thailand.

Berdasarkan kenyataan Wisma Putra itu, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut dilaporkan memiliki pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara sebelum ini.

Tokoh veteran UMNO berusia 68 tahun dan berasal dari Gerik, Perak itu dinyatakan juga pernah dilantik menjadi menteri untuk pelbagai portfolio sejak 2013 sehingga 2018 lalu.

Mohamed Nazri yang berkelulusan Lincoln’s Inn di Britain akan menggantikan tempat Datuk Azmil Mohd. Zabidi setelah bersara daripada perkhidmatannya pada Ogos 2021.

Turut menarik perhatian ialah ketiadaan sekali lagi nama Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum itu pernah disebut-sebut dilantik sebagai duta baharu ke Indonesia.

Sebaliknya, jawatan itu yang kosong hampir dua tahun lalu, telah diisi bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, Datuk Syed Md. Hasrin Aidid Tengku Hussain.

Ia menamatkan terus spekulasi mengenai kedudukan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang namanya sebelum ini konon dalam senarai tetapi digugurkan akhir tahun lepas.

Turut menerima watikah pelantikan ialah bekas pegawai khas Menteri Luar, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony yang akan menjadi duta baharu Malaysia ke Filipina.

Tidak ketinggalan ialah Hendy San (Holy See), Hafizah Abdullah (Sweden), Gloria Corina Peter Tiwet (Brazil), Suzilah Mohd. Sidek (Czechia), Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor-Leste), ‘Alaudiin Mohd. Nor (Kuwait) dan Ruzaimi Mohamad (Kenya). – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo