NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isteri didakwa bunuh suami

story-image

Seorang isteri bersama seorang lelaki warga India didakwa di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini, atas pertuduhan membunuh suami wanita itu dua tahun lepas.

Lachhami Devi, 23, juga warga India dan Varun Kumar, 30, didakwa bersama-sama membunuh Arshdeep Singh, 25,  (warga India)  di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Hill, Subang Jaya, pada 1.30 pagi, 31 Okt 2021.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala peguam Dr Pritam Singh Doal mewakili Varun sementara Lachhami tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua, dua tahun lepas akhirnya terbongkar.

Pihak polis menerima laporan daripada orang awam, berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa di lokasi tersebut.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo