NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Angka korban gempa Turkiye melepasi 50,000


ROM: Angka korban gempa bumi dahsyat, yang menggegarkan Turkiye dan negara jiran Syria pada 6 Februari sudah melangkaui 50,000, menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan Jumaat lalu.

Ketua Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beliau menyaksikan keadaan ibarat malapetaka yang sangat dahsyat ketika melawat kawasan yang lumpuh akibat gempa itu di bahagian selatan Turkiye.

"Terdapat hanya satu perkataan untuk menggambarkan apa yang saya lihat hari ini: Malapetaka," kata Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley sehari selepas melawat bandar Antakya di wilayah Hatay, Turkiye.

Siasatan terhadap keruntuhan bangunan dalam gempa bumi dahsyat awal bulan ini semakin meluas apabila Turkiye menahan 184 individu yang disyaki bertanggungjawab ke atas insiden itu.

Perkara itu dinyatakan seorang Menteri Kabinet Turkiye ketika kemarahan orang ramai semakin memuncak terhadap isu rasuah berhubung prosedur pembinaan bangunan.

Sabtu lalu, jumlah kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 44,128 di Turkiye, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara itu dan negara jiran Syria, kini lebih 50,000.Lebih 160,000 bangunan, yang mengandungi 520,000 apartmen runtuh atau rosak teruk di Turkiye, yang terburuk dalam sejarah moden negara itu.

Menteri Kehakiman, Bekir Bozdag berkata lebih 600 individu disiasat berkaitan dengan bangunan runtuh.

Mereka yang secara rasmi ditangkap dan direman dalam tahanan termasuk 79 kontraktor pembinaan, 74 individu yang bertanggungjawab ke atas bangunan, 13 pemilik hartanah dan 18 individu yang telah membuat pengubahsuaian bangunan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menghadapi cabaran politik terbesar dalam pemerintahannya selama dua dekad dalam pilihan raya yang dijadual diadakan menjelang Jun dan menjanjikan kebertanggungjawaban serta tata kelola lebih baik. - AGENSI
............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo