NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teliti semula kenaikan OPR

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat digesa meneliti semula sebarang keputusan mengenai dasar monetari negara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk berkaitan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, sekiranya OPR terus dinaikkan pada tahun depan, ia bermakna kenaikan OPR telah berlaku lima kali berturut-turut sejak Mei lalu dengan kadar tertinggi sekarang adalah 2.75.

“Kenaikan OPR berterusan sememangnya memberi tekanan kepada kebanyakan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.

“Ini kerana kenaikan pendapatan rakyat tidak begitu ketara berbanding peningkatan kos sara hidup dengan harga ayam, telur yang tidak dapat dikawal lagi, rakyat bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

BNM dijangka menaikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran.

Menurut Baljit, andaian kerajaan yang mana peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

Ini kerana jelas beliau, ketika kadar faedah di bawah dua peratus, nilai ringgit ialah sekitar 3.00 ke 3.20.

“Pada 2010, apabila kadar faedah turun ke bawah dua peratus, nilai ringgit semakin kuat iaitu 3.10 ke 3.40. Fakta di atas sepatutnya menafikan kaitan OPR kepada nilai ringgit,” ujarnya

Tambah Baljit, Kerajaan Pusat sebaliknya perlu melihat secara lebih luas dan di luar kotak bagaimanan untuk menghadapi masalah inflasi tanpa menyalurkan kesannya kepada rakyat secara langsung.

“Situasi ekonomi semasa negara yang tidak begitu baik berikutan kenaikan harga barangan asas turut memberi kesan berganda kepada kesejahteraan hidup rakyat.

“Ketika ini, kami tidak melihat apa-apa jaminan daripada kerajaan untuk menstabilkan harga barangan yang melonjak naik,” katanya.

Baljit menambah, harus diakui golongan berpendapatan rendah menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar pinjaman perumahan.

”Sekiranya kos pinjaman terus meningkat, mereka inilah yang akan terkesan,” katanya. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo