NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi mahu jumpa Anwar perjelas projek Aerotropolis

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan penjelasan mengenai projek Kedah Aerotropolis.

Menurutnya, ketika ini beliau difahamkan Perdana Menteri masih belum mendapat gambaran sepenuhnya mengenai projek tersebut yang disifatkan bakal menjadi pemacu kepada kemajuan ekonomi tidak hanya Kedah, tetapi negeri-negeri lain di utara tanah air.

Katanya, bagi merealisasikan pertemuan itu beliau sudah mengarahkan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP Holdings) untuk mengaturkan perjumpaan tersebut bersama Anwar.

“Saya difahamkan Perdana Menteri fikir yang projek ini akan menggunakan wang Kerajaan Persekutuan. Dalam keadaan kantung kewangan kerajaan Persekutuan kurang memberangsangkan, sudah tentu mereka berpandangan projek ini perlu ditangguhkan.

“Jadi saya ingin bertemu Perdana Menteri bagi memberi penjelasan sepenuhnya berkaitan projek tersebut, serta projek-projek lain yang merupakan sebahagian daripada komponen Kedah Aerotropolis seperti Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) dan Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang akan melalui kawasan itu.

“Saya ingin jelaskan bahawa bahawa semua projek ini akan dilaksanakan melalui inisiatif kewangan swasta (PFI). Jadi saya harap pertemuan tersebut akan ‘mencerahkan’ pandangan kerajaan Persekutuan untuk sokong projek tersebut yang bakal menjadi ‘game changer’ kepada ekonomi wilayah utara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, terdapat beberapa aspek yang memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan termasuk dalam urusan pengambilan semula tanah bagi pelaksanaan projek tersebut.

“Untuk memulakan sebarang projek bersangkutan perkara tersebut seperti pengambilan semula tanah, kerajaan negeri mesti mendapat kebenaran daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya khususnya daripada Kementerian Pengangkutan.

“Ini kerana bidang kuasa untuk membangunkan sebarang projek berkaitan lapangan terbang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan. Jadi perkara itu merupakan antara syarat penting yang mahu segera kita selesaikan berkaitan isu teknikal dari aspek perundangan,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini terdapat dua syarikat yang sudah disenarai pendek untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis selepas 17 syarikat menyertai temuduga yang dilaksanakan Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan Kedah Aerotropolis.

“Daripada 17 itu, syarikat tersebut disenaraikan kepada lima dan selepas penilaian dilaksanakan, jumlah disenarai pendek adalah dua sahaja. Kini ada beberapa lagi aspek teknikal yang perlu dipatuhi kedua-dua syarikat dan saya yakin kita akan buat keputusan untuk lantik syarikat yang layak melaksanakan projek itu secepat mungkin,” katanya. –UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo