NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perubahan tempat duduk ADUN hanya sementara, kata Speaker DUN Sabah

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya ketika ditemui media selepas Sidang Khas DUN, di Bangunan DUN, hari ini. (Gambar Jabatan Penerangan Sabah)

KOTA KINABALU: Perubahan pada tempat duduk beberapa ADUN hari ini hanya sementara, kata Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya.

Katanya, penyusunan semula itu dilakukan untuk memudahkan sidang khas yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan kerusi akan dimuktamad sekiranya kerajaan negeri mengumumkan keputusan untuk rombakan Kabinet.

“Kita perlu membuat susunan untuk sidang DUN yang diadakan hari ini, tidak mungkin kita mahu Dewan kelihatan kosong macam ‘gigi rompang’.

“Ia tertakluk kepada rombakan Kabinet yang akan diumumkan, sama ada ia membabitkan mereka.

“Itu saja yang saya boleh cakap, sebab bukan saya yang memutuskan mereka kekal atau tidak kerana lantikan Kabinet adalah prerogatif ketua menteri dan bukan speaker,” katanya ketika ditemui media selepas sidang khas DUN, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kadzim berkata, rekod menunjukkan hanya 44 ADUN yang menghadiri sidang khas berkenaan.

Jelasnya, jumlah kehadiran yang dilaporkan pada sidang kali ini merupakan antara terendah pernah dilihat dalam tempoh dua tahun ini.

Ketika ditanya mengenai beberapa ADUN yang tidak hadir ke sidang berkenaan, beliau berkata, ia adalah tertakluk kepada alasan masing-masing.

“Saya tidak pernah menolak sebarang permohonan tidak hadir, bila mereka mohon, saya luluskan sebab bukan tugas saya untuk memeriksa kesahihan alasan mereka.

“Ia terpulang kepada mereka, mungkin mereka mempunyai alasan untuk tidak hadir dan tidak dapat hantar permohonan ketidakhadiran, tapi saya tidak boleh buat kesimpulan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sidang Khas DUN itu diadakan bagi membentangkan dua rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023.

Kedua-dua RUU itu telah dibahaskan sebelum diluluskan secara sebulat suara.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo