NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera kemalangan tiga kenderaan

KULAI: Seorang pemandu bas maut, lapan cedera dan lima lagi terselamat dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 32.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Kulai malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, mangsa yang maut ialah pemandu bas ekspres berusia 65 tahun dalam satu kejadian pukul 9.30 malam itu.

“Kemalangan tersebut melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah bas ekspres, lori dan kereta.

“Pemandu bas yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala disahkan maut di tempat kejadian, manakala lapan penumpang bas mengalami kecederaan ringan.

“Sementara itu, pemandu kereta dan lori yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila lori berkenaan terbabas dan tersangkut di penghadang tengah jalan, sebelum dirempuh bas ekspres tersebut.

“Tidak lama selepas itu sebuah kereta lain turut merempuh lori tersebut,” jelasnya.

Beng Yeow turut memberitahu, semua kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Fairuz Helmi Mohd. Ali memberitahu, mangsa yang maut ialah Ismail Tapah.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai dan Skudai berserta lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.-UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo