NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khutbah Jumaat JAIS tarik kesedaran umat kepada politik Islam

SEJAK bulan Oktober 2022 Teks khutbah JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) menyentuh mengenai perkara-perkara berkait dengan politik Islam. Ketika itu bahang pilihan raya sudah sangat terasa. Lalu JAIS memainkan peranan menyedarkan umat Islam kepada peranan individu dalam politik dan pilihan raya.


Saya percaya, ramai yang bersetuju bahawa teks-teks khutbah yang berkait dengan politik Islam telah banyak menyumbang kepada kesedaran umat Islam di negeri ini kepada kedudukan dan peranan politik dalam Islam. Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama di negeri ini tidak mengesampingkan ilmu politik Islam. 

Teks-teks Jumaat yang dikeluarkan oleh JAIS yang dimaksudkan antara lain menyentuh perihal Islam dan kepemimpinan, cara memilih pemimpin, berakhlak dalam berkempen, kewajiban mengundi di dalam pilihan raya dan Perpaduan Ummah.

Saya  juga yakin bahawa dengan terbitnya teks-teks seumpama itu mampu memberi kefahaman mengenai ilmu politik Islam; bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam, bahawa berpolitik adalah suruhan Allah, dan bahawa berpolitik adalah sebahagian daripada kehidupan Rasulullah S.A.W.

Saya juga percaya bahawa teks-teks seumpama itu boleh meredakan ketakutan kepada ajaran Islam, terutama sekali di kalangan umat Islam sendiri. Meredakan ketakutan kepada ajaran Islam boleh menghalang Islamofobia daripada masuk dan meracuni pemikiran rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. 

Saya turut bersetuju dengan ramai yang mencadangkan supaya kupasan-kupasan berkait dengan politik dan kepemimpinan Islam, Perpaduan Ummah dan kewajiban mengundi di dalam pilihan raya terus diulang dan diulang di sepanjang masa, khususnya apabila bertepatan dengan keperluannya. Ini penting supaya umat Islam sentiasa dipandu dengan betul oleh pihak berkuasa agama di negeri ini. Terima kasih JAIS atas panduan yang diberikan.

Saya mohon mencadangkan supaya JAIS mengeluarkan teks-teks Jumaat yang berkait dengan bahaya Islamofobia. Maksud saya ialah bahaya Islamofobia kepada akidah umat Islam, bahaya Islamofobia kepada pemikiran umat Islam dan bahaya Islamofobia kepada kesatuan umat Islam. Seterusnya, sekiranya boleh diperpanjangkan kepada cara-cara menolak faham Islamofobia.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi 

– HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo