NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hajiji bakal ketuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

story-image
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor hari ini mengesahkan beliau akan menyertai dan mengetuai sebuah parti tempatan di negeri itu iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau berkata Gagasan Rakyat telah diterima sebagai parti gabungan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 9 Dis tahun lepas, dan menurutnya parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini.

"Ya (umum parti itu) dalam masa beberapa hari akan datang ini...sebenarnya parti ini sudah sedia ada, dan kita hanya ambil alih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu, hari ini.

Parti Gagasan Rakyat Sabah merupakan sebuah parti politik tempatan yang beroperasi di Sabah serta dibentuk dan didaftarkan pada 28 Ogos 2013.

Pada 10 Dis 2022, Hajiji mengumumkan kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada Bersatu.

GRS yang dipengerusikan Hajiji kini mempunyai lima parti komponen iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (Sapp) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Hajiji berkata dengan langkah menyertai Gagasan Rakyat itu, beliau berharap tidak lagi timbul pelbagai isu terutama daripada pihak yang mahu ‘menangguk di air yang keruh’ mempertikaikan kedudukannya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Adun sebagai ketua menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Sabah,” katanya yang sebelum ini telah mendapat sokongan 44 Adun negeri untuk kekal sebagai ketua menteri.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali ketika ditemui pada majlis sama mengesahkan bahawa beliau telah digugurkan sebagai ahli Bersatu.

“Saya akan kekal sebagai ahli secara langsung kepada GRS, tetapi saya tidak menyertai Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkannya," katanya yang juga ahli parlimen Papar.

-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo