NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siti Bainun cuti sakit 22 hari, bicara tangguh


KUALA LUMPUR
: Mahkamah Sesyen di sini akan menetapkan tarikh baharu bagi prosiding membela diri Siti Bainun Ahd Razali selepas pengasas Rumah Bonda itu diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 Nov kerana masalah kesihatan.

Hakim Izralizam Sanusi dijangka menetapkan tarikh itu Jumaat ini selepas peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan Siti Bainun dijangkiti bakteria dan perlu mengambil antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu.

"Jangkitan itu dikesan hasil daripada prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi serta ujian darah di sebuah hospital semalam.

"Siti Bainun telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi dan telah diberikan MC dari 28 Nov hingga 19 Dis ini. Anak guam saya juga perlu kembali semula ke hospital pada 15 Dis untuk rawatan susulan manakala 20 Dis bagi menentukan sama ada pembedahan hempedu terhadapnya dapat diteruskan atau tidak," kata peguam itu semasa sebutan kes tersebut hari ini.

Pada 24 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pula memohon kepastian berkaitan keadaan sebenar Siti Bainun.

"Kami bukan doktor untuk memahami laporan kesihatan kerana ia mempunyai banyak terma saintifik. Sebab itu kami mohon doktor dipanggil memberi keterangan mengenai laporan itu," katanya.

Bagaimanapun, Izralizam berkata tiada keperluan untuk memanggil doktor untuk memberi keterangan mengenai perkara itu dan mahkamah membenarkan penangguhan kerana tertuduh tidak sihat serta diberikan MC.

Isnin lepas, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 5 Dis kerana Siti Bainun dimasukkan ke wad akibat pneumonia (radang paru-paru).

Nur'Aminahtul Mardiah berkata pihaknya memohon untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pembelaan dan memanggil semula tiga saksi.

Siti Bainun, 30, didakwa mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Komen: Perkara sakit tiba-tiba mcm ni jarang berlaku, sekali berlaku semua tangguh. MC utk makan ubat dan utk persiapan pembedahan katanya 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo