NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas enam hari tayangan, Mechamato Movie kutip RM10 juta

PETALING JAYA – Filem animasi tempatan, Mechamato Movie berjaya mencatat kutipan pawagam RM10 juta dalam tempoh enam hari tayangan.

Kutipan panggung memberangsangkan filem arahan sutradara Nizam Abd. Razak itu dijangka terus meningkat terutama apabila musim cuti persekolahan yang kini sudah pun bermula.

“Alhamdullilah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini telah berjaya mengutip RM10 juta dalam masa 6 hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara.

“Ada kira-kira 150 buah pawagam yang menayangkan filem ini,” ujar Nizam yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbitan filem terbabit, Monsta.

Dalam pada itu, Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Mechamato Movie akan berdepan saingan filem hebat antarabangsa yang mula memasuki pawagam tempatan minggu ini seperti Avatar: The Way of Water.

“Alhamdullillah sehingga sekarang kami mendapat banyak maklum balas yang sangat baik.

“Saingan seterusnya mungkin agak sengit dengan kehadiran filem antarabangsa. Namun, kami percaya dengan kualiti penghasilan, jalan cerita dan keunikan seni warisan dan budaya Malaysia, sudah
pastinya Mechamato Movie mampu bersaing,” katanya.

Mechamato Movie mula ditayangkan di Malaysia dan Brunei pada 8 Disember 2022 dan kini menduduki tangga teratas carta filem tempatan.

Mechamato Movie ialah sebuah filem komedi aksi animasi komputer Malaysia 2022 dan prekuel kepada siri animasi Mechamato: The Animated Series.

Dihasilkan oleh Animonsta Studios dan diedarkan oleh Astro Shaw, filem tersebut diarahkan oleh Nizam Razak dan dibintangi oleh Armand Ezra, Adzlan Nazir, Fadhli Mohd Rawi, Ielham Iskandar, Marissa Balqis, Fazreen Mohd, Hazzley Abu Bakar, dan Feroz Faizal.

Sekadar info, filem paling laris sepanjang zaman Malaysia adalah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan jumlah kutipan sebanyak RM97 juta, dikuti Munafik 2 (RM48 juta) dan ketiga, Hantu Kak Limah (RM36.2 juta).

Ejen Ali: The Movie berada di kedudukan keempat dengan kutipan RM30 juta namun merupakan filem animasi paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.

Mechamato Movie kini menduduki tangga nombor satu carta filem tempatan selepas mula ditayangkan 8 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo