NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH-BN songsangkan istilah ‘Kerajaan Perpaduan’


‘KERAJAAN
Perpaduan’ atau Unity Government adalah sebuah kerajaan gabungan yang menyeluruh yang terdiri daripada semua parti politik utama dalam badan perundangan yang lazimnya dibentuk semasa kecemasan seperti peperangan, wabak dan seumpamanya serta tidak mempunyai parti pembangkang atau jumlah parti pembangkang adalah teramat kecil sehingga boleh diabaikan.

Di antara kerajaan perpaduan terawal yang dibentuk adalah di Britain pada tahun 1806 yang digelar Ministry of All The Talents yang diterajui oleh William Grenville sebagai Perdana Menteri Britain. Ia dibentuk ketika Britain sedang berhadapan dengan krisis besar ketika era “Perang Napolean“ antara tahun 1803-1815 di mana Napolean telah melancarkan peperangan ke atas negara-negara Eropah.

Pada tahun 1994 ketika Nelson Mandela dinobatkan menjadi Presiden Afrika Selatan, beliau telah membentuk kerajaan perpaduan yang terdiri daripada semua parti politik berdasarkan perjanjian interim yang ditandatangani sebelum dilangsungkan pilihanraya umum untuk mengakhiri era apartheid yang telah sekian lama berlangsung di Afrika Selatan.

Di Ireland Utara setelah Perjanjian Belfast atau The Good Friday Agreement ditandatangani pada 10 April 1998 bagi mengakhiri konflik bersenjata yang telah berlaku di Ireland Utara sejak tahun 1960an, ia telah menjadi permulaan kepada pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui oleh lima parti utama di Ireland Utara sehingga ke hari ini.

Berikutan pertikaian keputusan pilihanraya umum Afghanistan pada tahun 2014, satu kerajaan perpaduan telah dibentuk antara Ashraf Ghani dan Abdullah Abdullah setelah kedua-duanya bersetuju untuk menandatangani perjanjian perkongsian kuasa dengan Ashraf Ghani menjadi Presiden Afghanistan manakala Abdullah Abdullah menjadi Ketua Eksekutif Afghanistan.

Pada tahun 2014, satu kerajaan perpaduan telah dibentuk di Palestin setelah termeterainya perjanjian damai antara Hamas dan Fatah. Walau bagaimanapun kerajaan perpaduan di Palestin tidak bertahan lama dan ianya dibubarkan pada tahun berikutnya kerana tidak mendapat sokongan Majlis Perundangan Palestin.

Di samping itu terdapat banyak lagi kerajaan perpaduan yang berlaku di negara-negara lain seperti Hungary, Greece, Kenya, Estonia, Croatia, Kanada, Itali, Nepal dan beberapa buah negara lagi termasuk negara haram Israel yang mana mengikut lazimnya kerajaan perpaduan tersebut disertai oleh kesemua parti-parti politik di dalam negara masing-masing.

“Kerajaan Campuran“ atau Coalition Government pula adalah satu bentuk kerajaan di mana parti-parti politik membentuk kerjasama untuk membentuk kerajaan. Ia lazimnya berlaku apabila selesainya pilihan raya, tiada satu pun parti-parti politik yang berjaya mencapai majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

Di Jerman, kerajaan campuran adalah satu perkara biasa dan adalah amat jarang untuk satu-satu parti politik menang besar atau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan setiap kali dilangsungkan pilihan raya umum. Maka untuk membentuk kerajaan, selalunya parti-parti politik akan bergabung untuk membentuk kerajaan campuran.

Angela Markel yang menjadi Cancelor Jerman dari tahun 2005-2021 telah membentuk empat kerajaan campuran setelah melalui empat pilihanraya umum. Beliau yang juga pemimpin parti Christian Democratic Union (CDU) telah bergabung dengan pelbagai parti politik seperti Social Democrat Party (SDP), Christian Social Union of Bavaria (CSU), Free Democratic Party (FDP) dan Christian Democratric Union (CDU) untuk membentuk kerajaan campuran.

Kerajaan New Zealand yang diterajui oleh Perdana Menteri Jacinda Ardean pada 2017-2020 adalah satu lagi contoh kerajaan campuran. Pada pilihan raya umum New Zealand yang berlangsung pada 2017, Parti Nasional yang diterajui Bill English yang juga merupakan Perdana Menteri New Zealand ketika itu telah memenangi 56 kerusi parlimen, kurang 5 kerusi parlimen untuk memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan.

Jacinda Arden yang memimpin Parti Buruh telah memenangi 46 kerusi parlimen, Parti New Zealand First menang 9 kerusi Parlimen manakala Parti Hijau menang 8 kerusi Parlimen. Oleh kerana Parti Nasional tidak memperolehi majoriti, Winston Peters yang memimpin Parti New Zealand First mengumumkan untuk membentuk kerajaan campuran minoriti dengan Parti Buruh bersama sokongan Parti Hijau yang seterusnya menjadikan Jacinda Arden sebagai Perdana Menteri New Zealand pada 2017.

Maka dengan contoh di atas, dapatlah kita membezakan antara kerajaan perpaduan dan kerajaan campuran yang mana ia adalah amat berbeza antara satu sama lain. Kerajaan perpaduan adalah gabungan semua parti-parti politik untuk membentuk kerajaan manakala kerajaan campuran adalah gabungan sebahagian atau sebilangan parti-parti politik untuk membentuk kerajaan walaupun nisbah kerajaan campuran boleh juga dibahagikan kepada kerajaan campuran majoriti mahupun minoriti.

Oleh yang demikian, kerajaan yang terbentuk di Malaysia selepas PRU15 yang lalu sebenarnya adalah kerajaan campuran, bukan kerajaan perpaduan kerana penyertaan hanya sebahagian daripada parti-parti politik yang ada di dalam negara. Ungkapan bahawa kerajaan yang ada saat ini adalah kerajaan perpaduan tidak tepat sama sekali kerana Perikatan Nasional yang mempunyai lebih kurang 33 peratus kerusi Parlimen tidak menyertai kerajaan.

Tentunya, ia amat berbeza dengan Unity Government yang dicadangkan oleh Tuan Guru Presiden dahulu di mana cadangan kerajaan perpaduan tersebut adalah gabungan semua parti politik yang ada dalam negara untuk membentuk kerajaan bagi mentadbir negara, sangat jauh berbeza dengan kerajaan yang ada pada hari ini.

Hakikatnya pada ketika itu, ia dianggap sebagai sebuah cadangan untuk “bergabung“ atau berkerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional serta untuk menyelamatkan Umno setelah kalah teruk pada pilihan raya umum 2008. Tuan Guru Presiden pada ketika itu bukan sahaja dikecam dari dalam PAS malah dari rakan-rakan dari gabungan Pakatan Rakyat.

Akibat daripada itu, Pakatan Rakyat terlerai dan bekas pimpinan PAS yang mendakwa Tuan Guru Presiden mahu “bergabung“ dengan Umno telah keluar daripada PAS kerana merasa begitu “keji“ dan “jijik“ dengan dakwaan tersebut. Maka keluarlah secara beramai-ramai mereka dari PAS lalu menubuhkan parti baharu yang diberikan nama Amanah dengan “tajaan” oleh parti DAP.

Namun apa yang berlaku hari ini sewajarnya menjadi soalan buat “mereka“ yang keluar daripada PAS atas dakwaan tersebut, siapa sebenarnya yang mahu bersama Umno dan Barisan Nasional? Begitu juga mereka yang meninggalkan Pakatan Rakyat kerana dakwaan PAS mahu “bergabung“ dengan Umno dan Barisan Nasional, apa sudah jadi dengan dakwaan tersebut?

Selepas meninggalkan PAS dan Pakatan Rakyat seterusnya sehingga tertubuhnya Pakatan Harapan, dilihat Umno dan Barisan Nasional adalah musuh utama bagi mereka dan boleh dikatakan “berkerat nyawa“ bagi mereka untuk bersama Umno dan Barisan Nasional. Jelas dilihat begitu tegar mereka menentang Umno dan Barisan Nasional pada PRU baru-baru ini sehinggakan didendangkan lagu “Hoi Ya Hoi“ bagi memaparkan begitu bencinya mereka pada Umno dan Barisan Nasional.

Namun akhirnya satu negara tertipu kerana mereka yang akhirnya “bergabung“ dengan Umno dan Barisan Nasional. Ketika ini mereka lupa apa yang diungkapkan dahulu terutamanya kepada mereka yang telah meninggalkan PAS atas dakwaan Tuan Guru Presiden mahu bawa PAS untuk “bergabung“ dengan Umno.

Natijahnya rakyat tidak akan lupa dengan apa yang berlaku hari ini dan akan menghukum perbuatan mereka, pastinya pada PRU akan datang. Saya juga pasti bahawa Perikatan Nasional akan mampu pergi lebih jauh dan mendapat sokongan yang lebih meluas dari segenap lapisan masyarakat akibat kesedaran politik yang memberangsangkan pada PRU kali ini.

Teruskan menyokong PERIKATAN NASIONAL kerana PERIKATAN NASIONAL, PrihatiN, BErsih dan STabil.

PN BEST!

Malaysia Sejahtera.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo