NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengerusi Bersih kesal SPR diam diri semasa dan selepas PRU15

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, SPR lebih senyap berbanding pilihan raya terdahulu.

PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendiamkan diri sepanjang dan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Bersih, Thomas Fann menyifatkan SPR lebih senyap berbanding pilihan raya terdahulu.

Katanya, antara cabaran utama kumpulan itu semasa PRU15 ialah penyebaran maklumat palsu berhubung proses pilihan raya secara berterusan.

Beliau berkata, terdapat juga pelbagai dakwaan berat sebelah berhubung SPR dan “helah benar-benar kotor” dalam PRU15.

“Disebabkan kami biasa dengan peraturan dan proses, kami tampil dengan penjelasan dan penafian terhadap sesetengah berita palsu berniat jahat. Ini sepatutnya tugas SPR, tetapi kebanyakan masanya mereka berdiam diri dan hanya membuat pengumuman rasmi di peringkat berbeza pilihan raya.

“Kami bimbang keyakinan rakyat terhadap pilihan raya semakin terhakis dan keputusan pilihan raya akan ditolak parti kalah, walaupun tidak banyak bukti penipuan atau salah laku besar-besaran.

“Ini akan mewujudkan senario pasca pilihan raya yang sangat tidak stabil untuk negara,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mendapati SPR mendiamkan diri berhubung dakwaan kesalahan pilihan raya membabitkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Ketua Barisan Nasional Terengganu, Ahmad Said.

“Walaupun mereka tidak boleh memulakan siasatan atau mendakwa mereka di bawah undang-undang sedia ada, mereka boleh menyatakan dengan jelas undang-undang mana yang dilanggar,” katanya sambil menambah polis boleh menyiasat serta menghukum kedua-dua pemimpin itu atas dakwaan kesalahan terbabit.

“Mana-mana individu yang menyaksikan sendiri kesalahan itu boleh dan patut membuat laporan polis. Polis juga boleh memulakan siasatan sendiri.”

Hadi dan Ahmad dilihat berbaju logo parti masing-masing ketika mengundi pada 19 Nov lalu. Ahmad mempunyai pelitup muka di poket bajunya yang menutup logo BN, manakala pembantu Hadi dilapor menafikan lambang pada baju Ahli Parlimen Marang itu ialah logo PAS.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo