NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS gesa kerajaan tangguh kemasukan pelancong China

PETALING JAYA: Pas menggesa kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong daripada China berikutan lonjakan kes Covid-19 di republik itu.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu memerhati perkembangan di China dan negara-negara lain yang sudah menerima pelancong dari negara berkenaan sebelum membenarkan mereka masuk ke dalam Malaysia.

Katanya, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 yang terjadi disebabkan tiadanya langkah mencegah masuk pelancong berisiko sehingga membawa masuk Covid-19 ke dalam negara.

“Pas terpanggil dengan kenyataan Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa) daripada kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional mengenai isu kemasukan pelancong asing khasnya daripada negara China memandangkan penularan kes baharu di negara itu semakin meluas.

“Pas menyarankan kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di negara republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Penduduk China yang sebelum ini disekat daripada ke luar negara selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 kini sudah dibenarkan melancong ke pelbagai destinasi impian mereka.

Biarpun kadar jangkitan Covid-19 di China ketika ini meningkat mendadak, situasi itu tidak menghalang rakyatnya daripada menempah tiket penerbangan untuk bercuti ke luar negara, terutama menjelang musim sambutan Tahun Baharu Cina.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan dengan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa perlu melalui saringan demam dan sekiranya dikesan bergejala akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Malah, pemantauan di pintu masuk juga di perkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan daripada pesawat yang datang dari negara China dan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, kerajaan perlu mengenal pasti dan memeriksa pelancong-pelancong yang sudah berada di dalam Malaysia bagi mengetahui status Covid-19 mereka.

Tambahnya, masyarakat turut perlu berwaspada dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan wabak berkenaan.

“Sementara itu, rakyat dinasihatkan kekal menjaga SOP dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo