NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Larangan wanita ke universiti: Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan diharap timbang semula keputusan

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto fail NSTP


JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan diharap dapat menimbang semula keputusannya melarang pelajar wanita daripada meneruskan pendidikan di universiti negara itu. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu perlu disemak semula kerana ia memudaratkan pembangunan pendidikan umat Islam terutama wanita pada masa hadapan.

Malah, katanya, langkah itu penting bagi membolehkan setiap lapisan rakyat Afghanistan berperanan membina negara secara bersama-sama. 

"Saya sangat sedih apabila mengetahui keputusan Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan mengenai pengharaman wanita meneruskan pendidikan di institusi tinggi Afghanistan baru-baru ini.

"Saya sudah menulis surat kepada Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem, dan menyampaikan perkara yang sama melalui Duta Besarnya di Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar, untuk menyemak semula keputusan itu. 

"Saya juga sudah berkongsi dengan Yang Berhormat Menteri, antara lain, pengalaman dan amalan negara kita di Malaysia yang menghormati wanita kerana menyumbang kepada agenda pembangunan negara kita. 

"Malaysia sudah membuktikan bagaimana wanita meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap dengan memanfaatkan bakat dan kemahiran wanita Islam Malaysia sebagai rakan kongsi dalam pelbagai industri. Malah peranan wanita di negara kita diiktiraf kerana membantu untuk ekonomi negara berkembang untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada 21 Disember lalu, Taliban Afghanistan dilaporkan melarang pelajar wanita daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.

Larangan universiti itu dibuat beberapa minggu selepas gadis Afghanistan mengambil peperiksaan tamat pengajian tinggi mereka, walaupun mereka sebelum ini diharamkan menerima pendidikan sejak Taliban mengambil alih negara tahun lalu.

Taliban turut mengharamkan kanak-kanak perempuan dari sekolah rendah dan sekolah menengah, menyekat wanita daripada kebanyakan pekerjaan serta mengarahkan mereka memakai pakaian yang menutup dari kepala hingga ke kaki di khalayak ramai.

Wanita juga dilarang mengunjungi taman permainan dan gimnasium.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, beliau percaya jika wanita Afghanistan diberikan akses kepada pendidikan, mereka juga mampu menjadi aset berharga kepada negara itu. 

Katanya, itu kerana peranan wanita penting dalam membantu membina daya tahan, kestabilan dan perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan negara.


Sumber I BH Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo