NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kumpulan berpendapatan rendah tiada pilihan, tidak wajar harap mereka bertindak, ahli ekonomi ulas Rafizi

Ahli ekonomi, Noor Azlan Ghazali, berkata peningkatan harga besar kemungkinan berpunca daripada kekurangan bekalan.



PETALING JAYA: Tidak wajar mengharapkan kumpulan berpendapatan rendah untuk bertindak menurunkan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga, kata seorang ahli ekonomi.

Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi, berpandangan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tentang kenaikan harga dibendung melalui penurunan permintaan “terlalu mudah”.

Rafizi dilaporkan berkata seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk dengan harga tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

“Ianya seolah menggambarkan penurunan permintaan antara penyelesaian kenaikan harga,” kata Azlan di Facebook.

“Dalam kes yang ekstrem, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga? Ini bukan penyelesaian!”

Beliau berkata peningkatan harga besar kemungkinan berpunca daripada kekurangan bekalan, memandangkan permintaan stabil dan tiada lonjakan pada musim perayaan.

Mengambil contoh harga ayam dan telur ayam, Azlan berkata, “dengan kadar pengeluaran kendiri untuk ayam dan telur ayam mencecah 104% dan 115%, jelas kenaikan harga ayam dan telur ayam berpunca daripada bekalan.”

“Bekalan kurang disebabkan pengurangan pengeluaran oleh pengeluar tempatan atau pun bekalan dieksport ke pasaran lebih menguntungkan.”

Katanya lagi, “keanjalan permintaan” tertakluk kepada beberapa faktor penentu utama, antaranya status produk, keupayaan beralih kepada produk lain, tahap pendapatan, dan kesegeraan keperluan produk berkenaan.

“Adakah terdapat produk makanan lain yang merupakan pengganti sesuai untuk pengguna beralih daripada ayam dan telur ayam?”

Mengambil maklum jumlah permintaan dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol tidak menurun, Azlan menyoal adakah menteri merujuk “kuantiti permintaan” atau “jumlah perbelanjaan”.

“Mungkinkah kuantiti kekal tetapi jumlah perbelanjaan meningkat berikutan harga lebih tinggi?” soalnya, dan menambah pengguna, khususnya kumpulan berpendapatan rendah tidak mempunyai banyak pilihan.

“Pengguna terpaksa mengorbankan perbelanjaan lain,” katanya.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.

Katanya, kategori perbelanjaan paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol, iaitu kumpulan perbelanjaan paling besar bagi isi rumah.

Azlan berkata logik ekonomi dan perekonomian yang betul penting dalam membentuk dasar dan tindakan bagi menangani cabaran ekonomi.

“Sebaiknya pihak yang berkenaan harus lebih berhati-hati dan memahami secara menyeluruh dalam mengutarakan cadangan penyelesaian ke atas masalah ekonomi.

“Kaji secara terperinci apa punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukan ‘kesan-akibat’ kenaikan harga.”


Sumber I FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo