NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khairuddin sangat curiga integriti Azam Baki, SPRM

“Azam kelihatan tidak berani bertindak di bawah mana-mana kerajaan masa ini yang memerintah negara. Beliau kelihatan mengikut telunjuk dan membela sesiapa sahaja yang menjadi tokoh pemimpin kini dan sentiasa cuba melindungi seseorang tokoh kerajaan walaupun didapati bersalah," dakwa Khairuddin.

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu menyiasat terlebih dahulu integriti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pejuang dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan curiga dengan integriti dan prinsip perkhidmatan Azam yang menerajui badan penguat kuasa itu.

“Azam kelihatan tidak berani bertindak di bawah mana-mana kerajaan masa ini yang memerintah negara. Beliau kelihatan mengikut telunjuk dan membela sesiapa sahaja yang menjadi tokoh pemimpin kini dan sentiasa cuba melindungi seseorang tokoh kerajaan walaupun didapati bersalah.

“Sebagai contoh dalam isu kes skandal 1MDB, Azam cuba membela Datuk Seri Najib Razak dengan membuat pelbagai kenyataan yang tidak berasas.

“Pada waktu itu, Azam mengesahkan beliau sudah bertemu secara peribadi dengan penderma kerabat DiRaja dari Timur Tengah yang menderma wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi mantan perdana menteri keenam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menyiasat Azam secara komprehensif dan rombakan secara berskala besar harus dijalankan terhadap SPRM.

“Banyak lagi perkara lain menunjukkan Azam adalah seorang yang berkhidmat secara tidak jujur dan tidak amanah. Sesiapa saja yang menjadi kerajaan, Azam dan SPRM kelihatan akan terus membantu untuk melindungi kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada waktu itu,” dakwanya.

Tambahnya, kerajaan harus melakukan agenda transformasi serta reformasi ke atas institusi-institusi dan badan-badan penguatkuasaan undang-undang lain yang tidak berprinsip.

“Sekiranya kita tidak membersihkan badan-badan penguatkuasaan undang-undang secara total, ianya akan menyukarkan agenda untuk melawan rasuah di negara ini,” katanya.

Selain itu, Pejuang dan GTA Wilayah Persekutuan turut menyokong sepenuhnya sebarang usaha murni pihak kerajaan untuk membanteras segala bentuk salah laku dalam pentadbiran negara.

“Apa saja yang dilakukan baik oleh kerajaan kami akan terus membantu serta menyokonginya. Sekiranya kerajaan melakukan apa sahaja bentuk kesalahan, kami akan lawan secara bermatian untuk menegakkan kebenaran.

“Seluruh pentadbiran negara harus dicuci secara habis-habisan demi kesejahteraan bersama bagi membina semula negara Malaysia Baharu.

“Amalan rasuah serta salahguna kuasa mesti dihapuskan dan Pejuang serta GTA Wilayah Persekutuan sanggup berganding bahu dengan kerajaan bagi mencapai matlamat murni ini secara bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo