NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keutamaan sistem pendidikan negara

MINGGU lalu Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan pekeliling berkaitan pengekalan takwim persekolahan untuk sesi 2023 yang bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah di negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, sekolah akan dibuka pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.


Empat alasan diberikan untuk merasionalkan keputusan mengekalkan takwim sekolah yang bermula pada Mac 2023 nanti. Pertama, bagi memastikan pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dapat dilakukan dengan lebih lancar pada Februari dan Mac 2023 nanti. Ini bagi memastikan calon SPM tidak terganggu penjadualan mereka yang dirancang sejak awal 2022 untuk menghadapi peperiksaan SPM 2022 nanti.


Alasan kedua adalah bagi memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) tahun 1998 (pindaan 2021) yang menetapkan jumlah hari persekolahan dalam sesuatu kalendar akademik mestilah tidak kurang daripada 190 hari. Oleh itu, jika dikembalikan takwim persekolahan bermula Januari 2023, adalah dikhuatiri berlaku pelanggaran peraturan tersebut oleh KPM sendiri.

Walaupun keputusan melanjutkan takwim 2022 sehingga Mac 2023 diputuskan sebelum ini di bawah kuasa darurat (tidak terikat dengan mana-mana peraturan sedia ada) tetapi adalah sesuai untuk KPM terus mengekalkan takwim persekolahan bermula pada Mac 2023 bagi keselesaan semua pihak.

Ketiga, adalah wajar dikekalkan bagi mengelakkan minggu peperiksaan SPM pada tahun seterusnya kembali dilaksanakan pada musim tengkujuh kerana ini akan melibatkan kebajikan guru dan murid-murid yang akan mengambil peperiksaan SPM.

Apabila peperiksaan SPM dianjakkan pada Februari dan Mac selepas ini, maka pengoperasian peperiksaan SPM tidak lagi berhadapan isu musim tengkujuh yang menjejaskan tumpuan dan keselesaan para calon SPM dan pihak sekolah yang bertanggungjawab bagi menguruskan tempat peperiksaan dijalankan.

Keempat, dengan melanjutkan sesi persekolahan bermula pada Mac 2023, secara langsung tempoh masa menunggu lepasan SPM bagi kemasukan ke universiti dan kolej akan menjadi lebih pendek berbanding jika sesi persekolahan bermula Januari 2023. Secara rasionalnya, empat alasan itu adalah jelas dan sepatutnya diterima sebagai usaha untuk menjaga kebajikan guru-guru dan murid-murid.

Bagaimanapun, terdapat sebahagian ibu bapa dan guru-guru masih merasakan adalah lebih baik dikembalikan takwim persekolahan bermula pada Januari 2023 kerana dilihat lebih sesuai dan mempermudahkan semua urusan keluarga termasuk cuti hujung tahun. Dalam kalangan guru pula, mereka melihat perlunya disegerakan penyelarasan agihan peruntukan tahunan dan beban memasukan data dan rekod murid yang sekarang mengikut sistem tahunan sedangkan sesi persekolahan pula bermula pada Mac. Oleh itu, para guru menyarankan agar KPM dapat memastikan supaya semua urusan berkaitan agihan peruntukan sekolah dan penyediaan kemasukan data dan rekod diselaraskan dan dilanjutkan sehingga Mac bagi mengikut sesi persekolahan baru dan bukan lagi bersandarkan sistem tahunan seperti sebelum ini. Sudah pasti perkara ini telah pun di dalam perhatian dan tindakan pihak KPM, JPN dan PPD.

Sebenarnya isu takwim sekolah tidak perlu dijadikan isu besar. Sebaliknya, ini hanyalah isu pengurusan semata-mata. Sudah pasti pihak pengurusan tertinggi KPM mengambil kira semua keperluan sebelum mengekalkan takwim persekolahan pada Mac 2023.

Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk kita melihat berlakunya reformasi terhadap kualiti pendidikan negara. Kita mahu supaya kepimpinan KPM memberikan keutamaan bagi membangunkan sistem pendidikan yang lebih baik. Berbanding yang ada hari ini.

Empat perkara utama yang sepatutnya menjadi keutamaan KPM pada waktu ini dalam melakukan reformasi kualiti pendidikan negara adalah pertamanya, segera melakukan program pemulihan pembelajaran kepada murid-murid sekolah rendah yang berhadapan dengan isu keciciran penguasaan asas membaca menulis dan mengira. Jika tidak dibimbangi murid-murid ini akan terus keciciran dan akhirnya mungkin berhenti sekolah atau merosot pencapaian pendidikan mereka.

Kedua, KPM perlu segera menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan kualiti prasarana pendidikan khususnya berkaitan bangunan sekolah uzur, keadaan bilik darjah dan makmal daif, kemudahan pembelajaran termasuk padang sekolah serta kemudahan-kemudahan asas murid di sekolah seperti tandas murid, perpustakaan, surau, bilik kaunseling, bilik guru dan juga meningkatkan alat bantu pengajaran dan pembelajaran.

Ketiga, mempertingkatkan kemahiran guru dengan pedagogi berasaskan penggunaan teknologi dan strategi pengajaran terkini selari dengan konsep pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.  Guru-guru seharusnya dipertingkatkan kemahiran berkaitan ilmu psikologi pembelajaran, penghayatan falsafah pendidikan serta mahir dengan strategi menggunakan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Keempat, meningkatkan kemudahan dan infra pembelajaran terkini khususnya akses internet di semua sekolah terutamanya di luar bandar dan pedalaman. Kegagalan menyamaratakan akses internet menyebabkan jurang pencapaian pendidikan di antara murid bandar dan luar bandar menjadi semakin besar.

Data perangkaan menunjukkan lebih 50 peratus sekolah di negara ini khususnya di luar bandar dan pedalaman masih belum mempunyai akses internet ketika ini. Sesuatu yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Dr. Anuar Ahmad , Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo