NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johor negeri terbaru dilanda banjir


Banjir di Kelantan semakin buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga pada petang tadi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Pahang merekodkan peningkatan petang ini, manakala Segamat menjadi daerah pertama di Johor dilanda bencana itu.

Setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di empat negeri yang terjejas merekodkan seramai 1,806 orang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga petang ini, berbanding 280 mangsa daripada 84 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan memaklumkan kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Seramai 450 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok (81), SK Kubang Kual (66) dan PPS Putat Tujoh (60).

Di Pahang, 581 orang telah dipindahkan ke 11 PPS sehingga 4 petang tadi berbanding 537 mangsa di lapan PPS pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN Pahang memaklumkan daerah Temerloh mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 382 orang diikuti Lipis (83), Raub (48), Jerantut (39) dan Bera (29).

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada 12 tengah hari tadi susulan limpahan air dari Sungai Muar.

Menurut kenyataan itu kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 546 orang daripada 137 keluarga petang ini berbanding 599 mangsa daripada 154 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 3 petang tadi, tujuh PPS dibuka di empat daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

Daerah Kemaman menempatkan 279 mangsa banjir, Kuala Nerus (220), Kuala Terengganu (43) dan Setiu (empat).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di Terengganu dan beberapa daerah di Kelantan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan daerah terlibat di Kelantan ialah di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

Manakala hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan hingga esok.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pahang dan Perak sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo