NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johari letak jawatan ADUN Gurun

PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun di Kedah, semalam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu melalui satu video di Facebooknya mengesahkan beliau telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat berhubung perkara itu.

Perkara itu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa Johari bakal dilantik sebagai Speaker Parlimen.

Johari berkata, inti pati surat itu menjelaskan beliau memaklumkan kepada Speaker DUN Kedah bahawa kerusi DUN Gurun disandangnya sebelum ini dikosongkan berkuat kuasa serta-merta pada tarikh surat itu dihantar.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana.

“Tuan-tuan dan puan-puan telah pun memberikan kerjasama dan kepercayaan luar biasa terhadap saya dalam menjalankan tugasan sebagai ADUN Gurun. Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam membangunkan negeri Kedah,” katanya.

Sebelum ini, nama Johari disebut-sebut antara calon bagi jawatan Speaker Parlimen yang mengadakan sidang majlis mesyuarat penggal pertama pertama persidangan Dewan Rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Selain nama Johari yang mewakili blok kerajaan, nama bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad difahamkan turut dicalonkan blok pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bagi jawatan itu. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo