NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dana Judi, Anwar cuba cipta persepsi gempur pengundi Melayu

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, tengah hari tadi.

Laporan polis dibuat berhubung kenyataan Anwar yang mendakwa sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan serta menyifatkan dakwaan sedemikian adalah sebahagian daripada permainan politik.

“Perkara ini sebenarnya permainan politik yang dilakukan oleh Anwar untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana daripada syarikat judi.

“Mungkin tujuannya adalah untuk menggempur pengundi-pengundi Melayu khususnya yang bakal mengundi di Parlimen Tioman dan Dun Padang Serai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin para pengundi tidak akan termakan dengan fitnah sedemikian kerana kenyataan itu telah dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Abdul Hadi Awang, dan Tan Sri Muhyiddin sendiri.

“Dengan laporan dibuat hari ini menunjukkan kami tiada perkara yang perlu diselindungkan daripada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan. Bukan sahaja berkait dengan dakwaan dana judi tersebut malah berkenaan kontroversi penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion.

“Kami mengambil serius terhadap tohmahan ini dan berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah dilakukan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo