NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar akan tentukan dasar luar baharu Malaysia

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir membayangkan bahawa dasar luar Malaysia akan kekal sama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 Bagaimanapun ujar beliau, sekiranya ada perubahan sama ada besar atau kecil, ia akan tertakluk kepada kepimpinan negara bagi mencorakkan hala tujunya termasuk dengan pihak tertentu.

 “Setakat ini, saya boleh memberi jaminan bahawa, kerangka dasar luar kita tetap tidak berubah termasuk melibatkan hubungan diplomatik negara tertentu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian itu di Wisma Putra di sini yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Penjelasan Zambry itu menjawab teka-teki berhubung dasar luar Malaysia sama ada akan kekal berubah atau masih kekal seperti dilaksanakan kerajaan terdahulu sejak mencapai kemerdekaan termasuk pendirian Malaysia dalam konflik Palestin-Israel, krisis politik di Myanmar, kemelut pertikaian Laut China Selatan, Pertubuhan Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, secara am segala asas dasar luar Malaysia kekal relevan dengan perkembangan geopolitik semasa terutamanya masalah hubungan dua hala dan pelbagai hala.

“Saya tidak dapat mengemukakan secara mendalam kerana ini tentunya memerlukan penjelasan dan penelitian Perdana Menteri sendiri yang lebih faham dengan isu ‘panas’ tertentu,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, keutamaan tertinggi dasar luar Malaysia masih lagi ialah negara-negara rantau Asia Tenggara sebagai jiran terdekat, negara-negara Islam sejagat dan Komanwel Britain.

Hubungan secara khusus dengan negara-negara tertentu khususnya kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China pula bergantung kepada keperluan yang rencam dari masa ke semasa.

Ditanya mengenai masa depan beberapa duta khas yang dilantik oleh pihak kerajaan terdahulu, beliau berkata, perkara tersebut akan dikaji dengan terperinci dan tidak dibuat terburu-buru.

 Utusan Malaysia difahamkan bahawa kesemua utusan berkenaan sudah pun tamat perkhidmatan masing-masing secara rasmi pada 16 Ogos 2021 lalu tanpa disambung semula tempoh kontrak.

Ini termasuk tiga penyandang Duta Khas Perdana Menteri yang bertaraf Menteri iaitu masing-masing ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Tiong King Sing dan Datuk Seri Richard Riot Jaem. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo