NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1.8 juta nombor akaun Maybank didakwa bocor tidak wujud

PETALING JAYA: Sebanyak 1.8 juta akaun pelanggan yang didakwa bocor seperti yang didedahkan oleh sebuah laman sesawang adalah akaun-akaun yang tidak wujud atau tidak sah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana siasatan awal mendapati akaun-akaun tersebut tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun berkenaan.

Katanya, siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

“Walau bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

“Manakala siasatan mengenai kebocoran data SPR dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada dakwaan kebocoran data melibatkan hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada pangkalan data milik Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kata Fahmi, notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman
sesawang tersebut.

“Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” tegasnya.

Menurut Fahmi, kementeriannya memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu.

Katanya, KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo