NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya sebenarnya sudah mati...' kata yang akhir menjadi kenyataan (bersama video)


Dungun: "Saya tidak menyangka kata-katanya itu menjadi kenyataan," kata Norshikin Mustaffa, selepas anaknya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 74.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Tanjung Pagar, hari ini.

Dalam kemalangan jam 8.51 pagi itu, Safitri Mulyana Mohamad, 31, yang tinggal di Kampung Gong Pasir maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah peha kanan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Safitri dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dipercayai terbabas ke laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Dalam masa sama, sebuah Proton Saga yang berada di belakang cuba mengelak namun bergesel dengan kenderaan mangsa.

Norshikin, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang berkata, arwah anaknya itu seorang ibu tunggal. "Dia tinggal bersama saya dan menjaga saya dengan baik, dia akan ambil dan hantar saya setiap kali saya menjalani rawatan mencuci buah pinggang di Hospital Dungun.

"Semalam, dia bawa saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk bertemu dengan pakar mata dan ketika dalam perjalanan pulang dia memberitahu saya bahawa dirinya itu sebenarnya sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, dia terkejut dengan ungkapan pelik yang keluar daripada mulut anaknya itu sambil meminta anaknya itu tidak bercakap lagi perkara itu.

"Beberapa minit selepas itu, dia bertanya semula jika dia meninggal, adakah saya akan menghalalkan segala makan minumnya serta air susu saya membesarkannya.

"Saya kata saya halalkan semuanya dan selepas itu saya minta supaya dia tidak lagi mengulangi kata-kata sebegitu," katanya.

Norshikin berkata, dia sangat terkejut selepas menerima panggilan daripada anak bongsunya yang memaklumkan arwah maut dalam kemalangan.

"Ketika kejadian, arwah keluar untuk membeli nasi lauk daging yang saya pesan, saya tunggu kenapa dia tak pulang rupanya dia terbabit dalam kemalangan.

"Biasanya dia akan bawa saya untuk menemaninya dan hari ini dia minta saya tidak mengikutinya seolah-olah dia sudah mengetahuinya dia akan pergi meninggalkan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Menurutnya, pemandu lori yang berusia 45 tahun dan pemandu Proton Saga yang juga wanita berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat di bawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 8:02pm




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo