NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jawatan berpendapatan: Gelanggang saingan tidak adil?


SATU perkara yang mendapat perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang berlangsung sekarang ialah dakwaan ketidaklayakan calon dari sudut “jawatan berpendapatan”.

Pendirian calon Gerakan Tanah Air (GTA) Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengemukakan bantahan terhadap pencalonan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Port Dickson merupakan satu perkembangan yang menarik. 

Dalam mengemukakan bantahannya beliau menjelaskan bahawa aduan berkaitan telah pun disalurkan oleh wakilnya selepas hari penamaan calon 5 November lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memintanya membuat permohonan secara bertulis.

Bantahan dikemukakan selari dengan peruntukan Artikel 48(1) C Perlembagaan Persekutuan. 

“Ia jelas menyatakan Aminuddin tak layak menjadi calon. Ini turut terpakai dengan Amirudin Shaari (MB Selangor) dan turut terpakai dengan exco-exco kerajaan dan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang bertanding. SPR juga cadangkan agar dibuat secara bertulis. Pada saya biarlah kita bertanding secara adil,” kata beliau. 

“Peguam saya kata kita sudah boleh hantar surat tetapi kita tengok dulu SPR macam mana. Lepas pilihan raya kalau ia tidak diselesaikan, kita akan failkan ke mahkamah,” katanya. 

Ujar Ahmad Idham, berdasarkan klausa peraturan sedia ada jelas tidak membenarkan mana-mana calon untuk kekal memegang sebarang jawatan dan berpendapatan. 

“Saya difahamkan jawatan (Aminuddin) itu bukan menteri besar sahaja, beliau juga mempunyai jawatan lain lagi. Lima jawatan exco dan saya diberitahu jawatan exco itu ada gaji juga maknanya duit yang dia dapat daripada wang rakyat,” tegasnya lagi.

Selain Ahmad Idham dan Aminuddin, kerusi berkenaan juga menampilkan calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Mustapha, P Kamalanthan (Barisan Nasional) dan Abdul Rani Kulop Abdullah (Bebas).

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, “jawatan berpendapatan” ertinya apa-apa jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam, dan termasuklah:

(a)       jawatan mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.

(b)       jawatan ketua audit negara.

(c)       jawatan seseorang anggota SPR, jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) sesuatu suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai, atau jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) mana-mana suruhanjaya yang bersamaan yang ditubuhkan oleh perlembagaan sesuatu negeri.

(d)       apa-apa jawatan lain yang tidak dinyatakan dalam Fasal (3) Perkara 132 yang boleh ditetapkan sebagai jawatan berpendapatan melalui Akta Parlimen.

Menjadi satu kewajipan bagi setiap calon yang hendak bertanding, dalam borang penamaan calon, ditulis pekerjaan mereka. Jika tiada, akan ditulis “tiada” atau “pesara” atau “bekerja sendiri”. Butiran itu penting kerana ia akan menentukan sama ada kertas penamaan calon diterima ataupun sebaliknya.

Dalam pada itu, Artikel 21(2) (Bahagian II) Perlembagaan menyebut bahawa walau apa pun dalam seksyen 6 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidaklah hilang kelayakan untuk menjadi seorang ahli dilantik bagi Dewan Undangan semata-mata oleh sebab dia memegang jawatan sesuatu jawatan berpendapatan.

Hujah Ahmad Idham bukan sahaja terpakai kepada kedua-dua menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi turut merangkumi perdana menteri dan kesemua barisan Jemaah Menteri. Begitu juga ketua-ketua menteri dan premier Sarawak. 

Begitu juga sesiapa yang masih memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, pembantu menteri dan barisan exco di seluruh negara yang bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau kedua-duanya sekali. 

Jumlahnya dianggarkan hampir 70 orang memandangkan ada yang diberi ruang untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Ia menjadi perhatian dan isu memandangkan sesetengah negeri tidak membubarkan dewan perundangan masing-masing. Ini termasuklah Selangor dan Negeri Sembilan.

Adakah perdana menteri, menteri besar dan ketua serta barisan anggota Kabinet atau exco dianggap sebagai perkhidmatan awam sehingga tergolong dalam perkhidmatan awam?

Perlembagaan Persekutuan juga menjelaskan bahawa perkhidmatan awam tidaklah dikira sebagai termasuk:

(a)       jawatan mana-mana anggota pentadbiran di dalam Persekutuan atau sesuatu negeri.

(b)       jawatan Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri atau ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau ahli Dewan Undangan sesuatu negeri.

Ketika tinggal tiga hari menjelang hari pengundian sebenar berlangsung, dengan kertas undi telah pun dicetak manakala proses undi pos telah dimulakan manakala undi awal akan diadakan pada hari ini, SPR sudah pastinya akan menyerahkan kepada calon untuk membuat petisyen pilihan raya. Calon mempunyai ruang untuk berbuat demikian selepas keputusan diwartakan kelak. 

Langkah itu secara langsung akan menyerahkan kepada mahkamah khas pilihan raya untuk mendengar rasa tidak puas hati seseorang calon dalam bentuk petisyen dalam tempoh enam bulan. Sekiranya ada rayuan ia akan didengar dalam tempoh enam.

SPR atau pegawai-pegawai pengurus pilihan raya (RO) tidak pernah menolak seseorang calon atas pertimbangan “jawatan berpendapatan” melibatkan perdana menteri, menteri dan sebagainya, iaitu mereka yang merupakan anggota barisan pentadbiran, yang merujuk kepada anggota barisan Kabinet peringkat pusat dan negeri. Kecuali perkara itu dibangkitkan ketika proses penamaan calon dan diputuskan oleh RO pada masa yang ditetapkan.

Sementara peruntukan undang-undang agak jelas mengenai perkara “jawatan berpendapatan”, perkara tersebut hanya boleh diputuskan oleh mahkamah, bukannya SPR.

Kemungkinan terma yang menjadi kontroversi itu memerlukan huraian seterusnya. Ia antara beberapa perkara yang perlu diperkasakan bagi menyuburkan lagi pilihan raya demokrasi. – 15 November, 2022.   

Dr G Manimaran
bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991.
Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo